Sabtu, 29 April 2017

Hafiz, Chong Wei buat perhitungan

ARKIB : 12/10/2004
PEMAIN pilihan pertama, Lee Chong Wei dari Pulau Pinang menyekat kemaraan Ismail Saman di separuh akhir semalam untuk menempah pertemuan dengan Muhammad Hafiz Hashim pada perlawanan akhir perseorangan lelaki Kejohanan Badminton Kebangsaan Terbuka Selangor hari ini.
Chong Wei yang merupakan juara Terbuka Malaysia dan Melaka 2004 menang 15-1, 15-11 sekaligus menutup peluang Ismail untuk melakukan satu lagi kejutan besar.
Sebelum ini, Ismail yang mewakili Selangor mengejutkan dua pemain kebangsaan, Lee Tsuen Seng di pusingan kedua dan Yeoh Kay Bin di suku akhir kelmarin.
Bagaimanapun di separuh akhir semalam, selepas tewas mudah di set pertama, Ismail cuba melakukan kejutan yang sama di set kedua dengan mendahului 11-9 pada satu ketika tetapi Chong Wei bijak memerangkap lawannya yang lemah di jaring untuk menamatkan permainan.
Ketika Chong Wei menang mudah dalam masa 42 minit ke atas Ismail, Hafiz pula melalui laluan sebaliknya apabila diheret hingga tiga set oleh Choong Hann sebelum menang.
Hafiz mengambil masa satu jam 26 minit untuk menang 15-7, 16-17, 15-13 dalam perlawanan menarik dan sengit di Dewan Badminton Jalan Kg. Attap itu.
Walaupun berpeluang menang permainan terus di set kedua apabila mendahului 16-14, Hafiz berdepan masalah mengawal tekanan permainan di mata penamat untuk membolehkan Choong Hann menang 17-16.
Keadaan yang sama berlaku di set penentuan apabila Hafiz mendahului 14-13 tetapi memerlukan lima kali servis untuk menamatkan permainan dengan 15-13.
Begitu pun di awal set ketiga, Hafiz ketinggalan 0-7 sebelum mengejar dari belakang dengan 5-7, 8-12 dan menyamakan kedudukan 13-13 sebelum menang.
Ini merupakan kemenangan kedua berturut-turut Hafiz ke atas Choong Hann yang turut ditewaskannya di separuh akhir Terbuka Melaka sebelum ini.
Dengan kemenangan itu, Chong Wei dan Hafiz mengulangi pertemuan mereka di perlawanan akhir Terbuka Melaka.
Chong Wei muncul juara ketika itu dan pertemuan di akhir Terbuka Selangor pastinya menjadi medan untuk Hafiz membalas dendam dan menebus kekalahan itu.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan