Selasa, 18 April 2017

Kekalahan Roslin, Chong Wei dedah kelemahan perseorangan - Pemain belum bersedia - Misbun

ARKIB : 24/04/2004
MENTALITI pemain negara belum bersedia untuk menghadapi Piala Thomas bulan depan, tegas ketua jurulatih kebangsaan, Misbun Sidek selepas melihat aksi anak-anak buahnya dalam Kejohanan Badminton Asia (ABC) yang sedang berlangsung.
Tempoh dua minggu menjelang kejohanan di Jakarta, 7-16 Mei itu akan digunakan untuk membuat persediaan dalaman, termasuk melakukan lebih banyak `kerja rumah' berbanding latihan fizikal.
Menurut Misbun, kekalahan dua anggota skuad Piala Thomas, Mohd. Roslin Hashim dan Lee Chong Wei di pusingan ketiga ABC mendedahkan kelemahan ketara perseorangan negara.
Bagaimanapun beliau yakin, kekalahan tersebut tidak memberi kesan psikologi kepada pemain, sebaliknya menghadiahkan satu pengalaman berharga.
``Fokus utama sebaik tamat Kejohanan ABC adalah menambah dos latihan dengan keutamaan adalah menguatkan mentaliti pemain,'' tegas Misbun.
``Daripada segi permainan, sebenarnya pemain kita tidak banyak berbeza dengan pemain handalan dari China, Indonesia atau Korea tetapi kita lemah daripada segi psikologi.
``Pemain-pemain kita mudah tertekan dengan diri sendiri bila berdepan dengan lawan yang handal. Ini baru satu kejohanan biasa, bagaimana hendak menghadapi beban penonton pada Piala Thomas?''
Tegas Misbun lagi, sekiranya persembahan perseorangan negara pada Kejohanan ABC dijadikan ukuran persediaan Malaysia menjelang Piala Thomas, ia amat mengecewakan.
Chong Wei, yang masih memburu tiket ke Sukan Olimpik Athens bermain jauh di bawah keupayaan sebenarnya ketika kalah mudah 2-15, 9-15 kepada jaguh Indonesia, Taufik Hidayat.
Roslin, pilihan keempat dan ranking ke-11 dunia pula dikejutkan pemain muda dan tidak ternama Korea, Jang Young-Soo 7-15, 15-17.
Juara Seluruh England 2003, Muhd. Hafiz Hashim menjadi wakil tunggal negara layak ke suku akhir perseorangan lelaki, manakala Lee Tsuen Seng menarik diri di pusingan pertama kerana masalah kecederaan.
Malaysia yang diletakkan sebagai pilihan ketiga di Jakarta menjadi pilihan utama untuk menjuarai Kumpulan C yang turut dibarisi Thailand dan Afrika Selatan.
Mereka juga dijangka melayakkan diri ke separuh akhir, selain menjadi pilihan untuk beraksi dalam perlawanan akhir selaku naib juara dua tahun lalu.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan