Isnin, 10 April 2017

Chong Wei lepasi halangan



ARKIB : 21/01/2004
JUARA kebangsaan, Lee Chong Wei melepasi halangan awal pada Kejohanan Badminton Terbuka Thailand apabila mengetepikan pemain tuan rumah, Adisak Wiriyapadungpong untuk mara ke pusingan kedua di National Stadium, Bangkok semalam.

Chong Wei, pilihan kelima pada kejohanan dua bintang yang menawarkan AS$50,000 (RM190,000) itu menang 15-5, 15-11.

Menanti Chong Wei, pemain nombor 19 dunia yang sedang memburu tiket ke Sukan Olimpik Athens pada pusingan kedua hari ini adalah pemain berpengalaman Wales, Richard Vaughan.

Turut meneruskan cabaran ke pusingan kedua adalah naib juara kebangsaan, Yeoh Kay Bin serta tiga pemain skuad pelapis, Kuan Beng Hong, Muhd. Hazwan Jamaluddin dan Mohd. Nazree Latifi.

Kay Bin mara selepas mengetepikan pemain tuan rumah, Sittichai Viboonsin 11-15, 15-5, 15-0 untuk menempah pertemuan dengan pemain utama Thailand dan naib juara tahun lalu, Boonsak Polsana.

Muhd. Hazwan mengalahkan seorang lagi pemain tuan rumah, Chakkraphong Thanathiratham 12-15, 15-11, 15-10, Nazree menang mudah 15-1, 15-0 ke atas Jonathan Taryoto dari Amerika Syarikat, manakala Beng Hong menumpaskan Yuichi Ikeda dari Jepun 15-11, 15-11.

Pemain senior negara dan pilihan kedua, Mohd. Roslin Hashim, hanya turun beraksi hari ini selepas mendapat bye pada pusingan pertama. Roslin akan bertemu Nazree pada pusingan kedua.

Sementara itu juara Sukan SEA, Wong Mew Choo muncul perseorangan wanita tunggal berjaya meneruskan cabaran selepas mengalahkan Matsuda Tomomi dari Jepun 11-4, 8-11, 11-7.

Juara kebangsaan itu akan bertemu pemain tuan rumah, Soratja Chansrisukot pada pusingan kedua hari ini.

SUMBERArtikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2004&dt=0121&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_03.htm#ixzz4dqoauzg8
© Utusan Melayu (M) Bhd

Tiada ulasan:

Catat Ulasan