Isnin, 10 April 2017

Chong Wei layak ke suku akhir



ARKIB : 23/01/2004
JUARA kebangsaan, Lee Chong Wei menjadi pemain tunggal negara melangkah ke suku akhir perseorangan lelaki badminton Terbuka Thailand selepas berhempas-pulas menewaskan pemain Korea Selatan, Park Sung Hwan pada pusingan ketiga di Stadium National, Bangkok, semalam.

Ini berikutan kekalahan yang menimpa seorang lagi pemain negara, Roslin Hashim yang tewas kepada pemain Indonesia berusia 18 tahun, Simon Santoso, 15-13, 11-15, 13-15.

Chong Wei, 22, pilihan kelima pada kejohanan dua bintang yang menawarkan hadiah wang tunai AS$50,000 (RM190,000) itu dipaksa bekerja-keras sebelum menang 15-11, 4-15, 15-12.

Naib juara Terbuka Malaysia dan nombor 19 dunia itu bagaimanapun bakal berdepan cabaran sukar pilihan pertama dari Hong Kong, Ng Wei di suku akhir hari ini.

Ng Wei mara selepas mengecewakan seorang lagi pemain negara, K. Yogendran 15-5, 15-6.

Jika berjaya ke separuh akhir, menanti Chong Wei sama ada juara bertahan, Ronald Susilo dari Singapura atau Dicky Palyama dari Indonesia.

Bagi Roslin, ini merupakan kekalahan kedua berturut-turutnya kepada Santoso. Kali pertama ialah pada Sukan SEA di Vietnam, Disember lalu dalam acara berpasukan.

Santoso akan berdepan pemain tuan rumah, Boonsak Polsana di suku akhir manakala satu lagi suku akhir akan menemukan pemain pilihan keempat dari Indonesia, Agus Hariyanto dan Park Tae Sang dari Korea Selatan.

Sementara itu kesemua beregu lelaki negara melepasi pusingan awal masing-masing diketuai pasangan Hong Chieng Hun-Lin Woon Fui, Hoon Thien How-Tan Boon Heong dan Tan Bin Shen-Ong Soon Hock.

Chieng Hun-Woon Fun mengetepikan beregu tuan rumah, Songpol Anukritayawan-Adisak Wiriyapadungpong 15-8, 15-6.

Thien How-Boon Heong pula menumpaskan pasangan Hong Kong, Tam Lok Tin-Lam Hoi Tak (Hkg) 15-3, 15-7, manakala Bin Shen-Soon Hock menyingkirkan Nattapon Naktong-Panuwat Ngernsrisul dari Thailand 15-10, 13-15, 15-12.

Cabaran Malaysia dalam perseorangan wanita pula berakhir selepas juara Sukan SEA, Wong Mew Choo kandas di pusingan ketiga.

Walaupun memberi tentangan baik, Mew Choo terpaksa akur dengan kehebatan pemain Belanda, Yao Jie apabila tewas 5-11, 7-11.

KEPUTUSAN:
(Pemain Malaysia sahaja)

Perseorangan lelaki, pusingan ketiga: LEE CHONG WEI (MAS) kln Park Sung Hwan (Kor) 15-11, 4-15, 15-12; Ng Wei (Hkg) kln K. YOGENDRAN (MAS) 15-5, 15-6; Ronald Susilo (Sin) kln Wiempie Mahardi (Ina) 15-3, 15-5; Dicky Palyama (Ina) kln Shoji Sato (Jpn) 15-7, 15-12; Simon Santoso (Ina) kln ROSLIN HASHIM (MAS) 13-15, 15-11, 15-13; Boonsak Polsana (Tha) kln Chen Jin (Chn) 15-9, 15-11; Agus Hariyanto (Ina) kln Chien Yu Hsiu (Tpe) 15-10, 15-5; Park Tae Sang (Kor) kln Yohan Hadikusumo Wiratama (Ina) 15-2, 15-12.

Beregu, pusingan pertama: HONG CHIENG HUN-LIN WOON FUI kln Songpol Anukritayawan-Adisak Wiriyapadungpong (Tha) 15-8, 15-6; HOON THIEN HOW-TAN BOON HEONG kln Tam Lok Tin-Lam Hoi Tak (Hkg) 15-3, 15-7; TAN BIN SHEN-ONG SOON HOCK kln Nattapon Naktong-Panuwat Ngernsrisul (Tha) 15-10, 13-15, 15-12.

Perseorangan wanita: Yao Jie (Ned) kln WONG MEW CHOO 11-5, 11-7

SUMBERArtikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2004&dt=0123&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_02.htm#ixzz4dqy8vtwH
© Utusan Melayu (M) Bhd

Tiada ulasan:

Catat Ulasan