Isnin, 24 April 2017

Gelaran milik pemain negara -- Badminton Terbuka Malaysia

ARKIB : 05/07/2004
LEE Chong Wei menebus kehampaannya pada tahun lalu apabila dia membuktikan kehebatan di hadapan para penyokong tempatan dengan muncul juara perseorangan lelaki kejohanan badminton Terbuka Malaysia selepas menewaskan pemain muda dari Korea Selatan, Park Sung Hwan di Stadium Tertutup Sukpa, Kuantan semalam.
Mengiringi kejayaan manis Chong Wei ialah kejayaan beregu utama negara, Chong Tan Fook dan Lee Wan Wah dalam acara beregu lelaki. Pasangan veteran itu menumpaskan beregu Indonesia, Luluk Hadiyanto dan Alven Yulianto untuk meraih kejuaraan pertama dalam tempoh lima hampir lima tahun.
Chong Wei membawa pulang hadiah wang tunai sebanyak AS$9,600 (RM36,480) manakala pasangan Chong Tan Fook dan Lee Wan Wah pula menggondol wang tunai AS$8,640 (RM32,832).
Pada perlawanan akhir tahun lepas di Sabah, Chong Wei tumpas kepada pemain China, Chen Hong, jaguh yang dijinakkannya pada perlawanan separuh akhir edisi 2004 kelmarin.
Semalam, Chong Wei mengambil masa hanya 35 minit untuk menjinakkan Sung-hwan dengan mata 15-3, 15-12.
Pada set pertama, Chong Wei tidak menerima tentangan kuat tetapi dipaksa mengerah tenaga pada set kedua. Dia yang ketinggalan 6-11 mula mengejar mata demi mata sehingga mengikat kedudukan 12-12.
Tertekan dengan aksi tenang Chong Wei, Sung-hwan membuat banyak kesilapan apabila banyak pukulannya mendarat di luar gelanggang untuk menyerahkan kemenangan kepada pemain negara.
Kegembiraan penyokong tempatan berterusan apabila pasangan beregu negara, Tan Fook-Wan Wah menumpaskan pasangan dari Indonesia, Luluk-Alven, 15-12, 15-7.
Tan Fook-Wan Wah jelas menguasai permainan sejak awal apabila berjaya mematahkan serangan bertubi-tubi pasangan lawan.
Chong Wei ketika ditemui pemberita melahirkan rasa gembiranya kerana berjaya menebus kehampaan pada tahun lalu.
``Saya telah membuat persediaan awal dan saya yakin untuk mencapai kemenangan pada hari ini walaupun saya ketinggalan banyak mata pada set kedua sebelum mengejar sehingga menang 15-12,'' katanya.
Katanya lagi, kemenangan itu menjadi pendorong kepadanya untuk berlatih dengan bersungguh-sungguh sebagai persiapan menghadapi Sukan Olimpik di Athens, Greece Ogos ini.
``Di Olimpik lebih ramai pemain handalan jika dibandingkan dengan Terbuka Malaysia dan saya masih ada masa empat minggu untuk berlatih sebelum berangkat ke Athens,'' ujarnya.
Tan Fook pula menjelaskan bahawa kemenangan tersebut akan mendorong dia dan pasangannya untuk bermain dengan lebih baik di Sukan Olimpik.
``Saya tidak boleh berjanji untuk menang di Olimpik tetapi saya boleh berjanji untuk bermain dengan baik kerana kesemua lawan mempunyai kekuatan yang sama,'' katanya.
Menurut Wan Wah pula, penyertaan mereka di Terbuka Malaysia merupakan sebahagian daripada persediaan sebelum ke Sukan Olimpik dan ia akan berterusan sehingga penghujung bulan ini sebelum bersedia untuk beraksi di Athens.
Sementara itu, China masih unggul dalam acara wanita apabila memenangi perseorangan wanita dan beregu. Mereka turut meraih kejuaraan acara beregu campuran.
Pasangan Zhang Jun-Gao Ling muncul juara beregu campuran setelah menundukkan pasangan dari Korea Selatan, Kim Hyong-hyun-Lee Hyo-jung 15-12, 15-11.
Bagi kategori perseorangan wanita, pemain nombor dua dunia, Zhang Ning menumpaskan rakan senegara, Zhou Mi, 9-11, 11-7, 11-8. Dalam acara beregu wanita, juara Terbuka Malaysia tahun lalu, Yang Wei-Zhang Jiewen mengekalkan gelaran apabila menumpaskan lawan yang sama pada 2003, iaitu rakan senegara, Gao Ling-Huang Sui 15-7, 15-6.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan