Jumaat, 28 April 2017

Chong Wei dalam kelompok terbaik

ARKIB : 04/09/2004
PENYINGKIRAN pada pusingan kedua Sukan Olimpik Athens dua minggu lalu tidak menjejaskan kedudukan Lee Chong Wei dalam kelompok 10 perseorangan lelaki terbaik dunia, malah naik dua anak tangga dalam ranking terbaru semalam.
Pemain utama negara, Wong Choong Hann turut mencatat kenaikan dua anak tangga sekalipun terkeluar pada peringkat yang sama di Athens selepas tewas kepada juara Olimpik Taufik Hidayat dari Indonesia.
Juara Terbuka Malaysia, Chong Wei menempatkan diri dalam kelompok 10 terbaik dunia buat kali pertama pada 5 Ogos lalu tetapi jatuh ke ranking ke-11 minggu lalu.
Semalam, pemain berusia 22 tahun itu kembali meletakkan diri dalam 10 terbaik dunia dengan berada di tangga kesembilan biarpun tumpas 11-15, 15-3, 12-15 kepada Chen Hong dari China di Athens.
Naib juara dunia, Choong Hann, 27, naik daripada ranking kelapan minggu lalu kepada keenam, manakala Mohd Roslin Hashim yang terkeluar pada pusingan pertama Sukan Olimpik tidak berganjak di ranking ke-14 buat minggu kelapan berturut-turut.
Sementara itu beregu utama negara, Choong Tan Fook-Lee Wan Wah yang hanya sempat bergelar pasangan nombor satu dunia selama dua minggu pada 5 Ogos lalu kekal di tangga kedua.
Kekalahan 15-11, 11-15, 9-15 kepada beregu Korea Selatan, Lee Dong Soo-Yoo Yong Sung pada suku akhir Olimpik menyukarkan peluang pasangan veteran negara itu untuk kembali merampas kedudukan teratas dunia.
Sebaliknya rakan senegara Dong Soo-Yong Sung, Ha Tae Kwon-Kim Dong Moon semakin kukuh di ranking teratas selepas merangkul pingat emas Olimpik menewaskan Dong Soo-Yong Sung dalam saingan akhir.
Keputusan jurulatih beregu, Yap Kim Hock untuk memisahkan Chan Chong Ming-Chew Choon Eng selepas tamat temasya Athens amat bertepatan kerana kedua-dua pemain nyata tidak lagi kompetitif sebagai satu pasangan.
Selepas kalah straight-set kepada beregu China, Sang Yang-Zheng Bo 11-15, 7-15 di pusingan kedua, Chong Ming-Choon Eng terus mengalami kejatuhan empat anak tangga ke ranking 24 dunia.
Sementara itu beregu tunggal wanita Malaysia pada Olimpik Athens, Wong Pei Tty-Chin Eei Hui menunjukkan peningkatan dua anak tangga.
Pei Tty-Eei Hui yang mengejutkan pasangan Jepun, Shizuka Yamamoto-Seiko Yamada 15-7, 15-9 tetapi tewas 12-15, 8-15 kepada beregu nombor dua dunia dari China, Gao Ling-Huang Sui di Athens kini berada pada ranking ke-16 dunia.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan