Isnin, 24 April 2017

Chong Wei tiada sasaran di Wuhan



 

JAGUH perseorangan badminton negara, Datuk Lee Chong Wei memiliki misi tersendiri pada Kejohanan Badminton Asia (BAC) 2017 yang akan berlangsung di Pusat Sukan Wuhan, China esok hingga 30 April ini.
Meskipun turun sebagai juara bertahan, namun Chong Wei tidak meletakkan sasaran menjuarai kejohanan tersebut, sebaliknya mahu memberi tumpuan bagi memperkemaskan rentak permainannya menjelang Kejohanan Dunia di Glasgow, Scotland pada Ogos depan.
Pemenang pingat perak Sukan ­Olimpik sebanyak tiga kali itu juga mengakui kecederaan lutut yang dialaminya sebelum ini masih belum pulih sepenuhnya.
“Persiapan saya berjalan dengan baik tetapi kita tidak boleh terlalu berharap untuk mencatat kemenangan dalam semua kejohanan yang disertai.
“BAC sama dengan kejohanan-kejohanan lain tetapi cabarannya lebih sukar kerana pemain-pemain terbaik Asia juga akan beraksi. Saya tetap memberi yang terbaik.
“Mengenai kecederaan yang saya alami, ia bertambah baik tetapi belum pulih 100 peratus. Sebenarnya, kejohanan ini penting juga memandangkan saya akan turun sebagai juara bertahan,” kata Chong Wei ketika ditemui di Akademi Badminton Malaysia (ABM), Bukit Kiara baru-baru ini.
Sebagai pemain No.1 dunia, Chong Wei perlu beraksi pada kejohanan tersebut kerana pemain-pemain yang berada dalam kelompok 10 terbaik diwajibkan menyertainya.
Pada pusingan pertama nanti, pemain berusia 35 tahun itu akan berdepan cabaran pemain Jepun, Kazumasa Sakai dan dia dijangka bertemu seteru utama dari China, Lin Dan sekiranya mara ke peringkat separuh akhir.
Selain Chong Wei, dua pemain profesional negara, Zulfadli Zulkiffli serta Chong Wei Feng turut beraksi dalam acara perseorangan lelaki manakala bintang remaja, Goh Jin Wei akan berentap dalam acara perseorangan wanita.
Pemenang pingat perak Sukan Olim­pik 2016 di Rio de Janeiro, Brazil, Goh V Shem-Tan Wee Kiong akan mengetuai cabaran negara dalam acara beregu lelaki yang turut dibarisi Teo Ee Yi-Ong Yew Sin dan Nur Izzuddin Rumsani-Goh Sze Fei .
Vivian Hoo-Woon Khe Wei, Lim Yin Loo-Yap Cheng Wen serta Chow Mei Kuan-Lee Meng Yean menggalas misi negara dalam acara beregu wanita sementara Tan Kian Meng-Lai Pei Jing dan Goh Soon Huat-Shevon Lai akan beraksi dalam acara beregu campuran.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan