Ahad, 23 April 2017

Harapan terakhir pada Chong Wei

ARKIB : 02/07/2004
NAIB juara tahun lalu, Lee Chong Wei muncul perseorangan tunggal negara mara ke suku akhir Kejohanan Badminton Terbuka Malaysia selepas pemain adik-beradik, Mohd. Roslin Hashim dan Muhd. Hafiz Hashim tersekat pada pusingan ketiga di Stadium Tertutup Sukpa, Kuantan semalam.
Cabaran Malaysia bagaimanapun diteruskan oleh dua lagi beregu negara, Choong Tan Fook-Lee Wan Wah dan Tan Bin Shen-Ong Soon Hock.
Ketika rakan-rakan sepasukan lain terkulai awal, Choong Wei meningkatkan keyakinannya menjelang Sukan Olimpik Athens, Ogos ini dengan menundukkan bekas pemain nombor satu dunia dan pilihan kelima, Peter Gade-Christensen dari Denmark 12-15, 15-3, 17-16.
Terdahulu juara kebangsaan itu mengetepikan cabaran Hidetaka Yamada dari Jepun 15-12, 15-12 pada pusingan kedua di sebelah pagi.
Kemenangan tersebut akan menemukan Choong Wei, pilihan ke-13 dengan pemain nombor empat dunia, Bao Chunlai yang menumpaskan Roslin 5-15, 15-6, 10-15.
Tan Fook-Wan Wah, pilihan ketiga pula mudah menewaskan pasangan Indonesia, Hendra Gunawan-Joko Riyadi 15-5, 15-10 untuk bertemu Sang Yang-Zheng Bo dari China di suku akhir.
Beregu remaja, Bin Shen-Soon Hock akan menentang beregu dari Thailand, Sudket Prapakamol-Patapol Ngernsrisuk selepas menewaskan Lee Jae-ji-Hwang Ji-man dari Korea 15-10, 15-13.
Pasangan senior, Chan Chong Ming-Chew Choon Eng bagaimanapun tewas lebih awal selepas tunduk 15-9, 13-15, 7-15 kepada beregu Denmark, Thomas Laybourn-Peter Steffesen.
Kemarau Hafiz, 23, untuk merangkul gelaran antarabangsa pertama selepas menjuarai Seluruh England 2003 terus berpanjangan selepas terpaksa akur kepada pemain nombor satu dunia, Lin Dan dari China 14-17, 13-15.
Dia sebelum itu menyingkirkan pemain veteran Indonesia, Marleve Mainaky 15-8, 17-14 pada pusingan kedua.
Cabaran lima lagi perseorangan negara, Lee Tsuen Seng, Yeoh Kay Bin, Kuan Beng Hong, Ismail Saman dan Salim Sameon turut berakhir seawal pusingan kedua di sebelah pagi.
Anggota skuad Piala Thomas, Tsuen Seng tewas 4-15, 7-15 dalam masa 45 minit kepada Lin Dan dan Beng Hong pula tumpas 10-15, 15-3, 6-15 kepada seorang lagi pemain China, Chen Yu.
Kay Bin pula nyata bukan tandingan Christensen apabila kalah 4-15, 11-15, bekas pemain kebangsaan, Ismail tumpas 6-15, 6-15 kepada Ronald Susilo dari Singapura dan Salim kalah mudah 1-15, 3-15 kepada Chunlai.
Ronald kemudian mengejutkan juara Asia, Taufik Hidayat dari Indonesia 13-15, 15-9, 15-8.
Kejutan yang sama turut diterima rakan senegara Taufik dan bekas juara Asia, Sony Dwi Kuncoro apabila tumpas 10-15, 10-15 kepada pemain muda Korea Selatan, Park Sung-hwan.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan