Khamis, 6 April 2017

Chong Wei sekadar muncul naib juara



ARKIB : 08/09/2003
HASRAT pemain remaja negara, Lee Chong Wei untuk merangkul kejuaraan antarabangsa pertamanya musnah selepas tewas kepada pemain nombor satu dunia, Chen Hong dalam perlawanan akhir Kejohanan Badminton Terbuka Malaysia di Kompleks Sukan Likas, Kota Kinabalu semalam, lapor MOHD. RADZI MOHD. ZIN dan HALIMAH JULKIP.

Kekalahan 9-15, 5-15 kepada juara Terbuka Singapura dari China itu juga bermakna Malaysia gagal mempertahankan gelaran perseorangan lelaki buat kali ketiga berturut-turut selepas Ong Ewe Hock memenanginya pada 2001 dan James Chua mengulanginya, tahun lalu.

Walaupun tewas, kejayaan beraksi dalam perlawanan akhir merupakan satu pencapaian besar buat juara kebangsaan, Chong Wei, 21, yang turun sebagai pemain bukan pilihan.

Pengalaman nyata berpihak kepada Chen Hong, bekas juara Seluruh England dan Asia dengan pukulan yang terlalu tangkas untuk dibalas Chong Wei dan smash tajam menjadi senjata untuk mengutip mata.

Berdepan pemain nombor satu dunia dalam perlawanan akhir buat kali pertama, Chong Wei ternyata gugup dan ketinggalan jauh 0-7 pada set pertama.

Chen Hong yang kandas pada suku akhir Kejohanan Dunia di Birmingham Julai lalu bukan tandingan Chong Wei apabila terus melebarkan kedudukan 11-2 ketika merampas servis.

Selepas ketinggalan jauh, Chong Wei mula merubah rentak permainan daripada bertahan kepada bermain secara menyerang dengan membuat hantaran silang di depan jaring.

Perubahan tersebut nyata memberikan hasil apabila anak didik jurulatih Misbun Sidek itu mengutip mata ketiga dan merapatkan kedudukan 9-14. Namun, dia terlalu lambat untuk bangkit dan akhirnya menyerah 9-15 dalam masa 20 minit.

Set kedua lebih mudah buat Chen Hong yang berjaya mendahului 4-0, seterusnya 10-5 tanpa memberi banyak peluang kepada Chong Wei untuk memperbaiki kedudukan.

Chen Hong menguasai permainan sepenuhnya dengan servis kencang dan hantaran yang mengelirukan untuk mengesahkan kejuaraan dengan kemenangan 15-9, 15-5.

Meskipun tewas, Chong Wei menerima tepukan gemuruh daripada kira-kira 2,000 penonton kerana aksi yang menarik, termasuk menyebabkan Chen Hong terjatuh ketika cuba membalas pukulannya.

Sementara itu pasangan Korea Selatan, Lee Dong Soo-Kim Dong Moon muncul juara beregu lelaki selepas mengalahkan Fu Haifeng-Chai Yun dari China 17-15, 15-11.

China meneruskan penguasaan dalam acara wanita apabila Zhou Mi muncul juara perseorangan dengan menewaskan bekas pemain nombor satu dunia, Camilla Martin dari Denmark 11-1, 7-11, 11-5 dan pasangan Yang Wei-Zhang Jiewen menundukkan rakan senegara, Gao Lin-Huang Sui 15-5, 1-15, 17-15 dalam beregu wanita.

Dalam beregu campuran, gandingan Dong Moon-Ra Kyung Min menundukkan juara bertahan, Robertson Nathan-Emms Gail dari England 15-6, 15-5.

Juara perseorangan lelaki membawa pulang AS$9,600 (RM36,480), manakala Chong Wei meraih AS$4,800 (RM18,240).

Turut hadir menyaksikan perlawanan akhir itu ialah Ketua Menteri Sabah, Datuk Musa Aman, Menteri Belia dan Sukan, Tan Sri Joseph Kurup dan Menteri Pembangunan Infrastruktur, Datuk Seri Yahya Husin.

KEPUTUSAN (akhir):

LELAKI perseorangan: Chen Hong (Chn) kln LEE CHONG WEI (MAS) 15-9, 15-5

Beregu: Lee Dong Soo-Kim Dong Moon (Kor) kln Fu Haifeng-Chai Yun (Chn) 17-15, 15-11

WANITA perseorangan: Zhou Mi (Chn) kln Camilla Martin (Den) 11-1, 7-11, 11-5

Beregu Wanita: Yang Wei-Zhang Jiewen (CHN) kln Gao Ling-Huang Sui (CHN) 15-5, 1-15, 17-15.

Beregu campuran: Kim Dong Moon-Ra Kyung Min (Kor) kln Nathan Robertson-Gail Emms (Eng) 15-6, 15-5.

SUMBERArtikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2003&dt=0908&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_02.htm#ixzz4dU1eLVMu
© Utusan Melayu (M) Bhd

Tiada ulasan:

Catat Ulasan