Khamis, 6 April 2017

Chong Wei buat kejutan



ARKIB : 06/09/2003
PEMAIN remaja, Lee Chong Wei mengejutkan jaguh China, Bao Chunlai untuk mengiringi pemain nombor satu negara, Wong Choong Hann ke separuh akhir Kejohanan Badminton Terbuka Malaysia, hari ini.

Chong Wei membuktikan kemampuannya apabila menewaskan Chunlai dalam saingan rubber game 9-15, 15-13, 15-11 semalam.

Sementara itu, Choong Hann mengalahkan juara remaja Asia, Kuncoro Sony Dewi straight set 15-13 dan 15-10 dalam saingan suku akhir semalam.

Walaupun tewas pada set pertama, Chong Wei menunjukkan semangat juang tinggi untuk bangkit mengejar lawannya itu yang ternyata yang lebih berpengalaman beraksi di arena antarabangsa.

Pada set penentuan, Chong Wei bertambah yakin apabila mendahului lawannya dengan 7-0 pada awal permainan sebelum Chunlai menyamakan kedudukan 7-7 selepas beberapa kali bertukar servis.

Dengan kemenangan itu, Chong Wei akan berhadapan dengan pemain Korea, Lee Hyun II yang menewaskan pemain pilihan kedua, Jonassen Kenneth dari Denmark straight set 15-9, 15-0.

Sebelum itu juara kebangsaan itu menewaskan pemain lebih senior, Roslin Hashim dalam perlawanan rubber game selepas bertarung selama 90 minit.

Choong Han pula akan beraksi menentang pemain pilihan utama dari China, Chen Hong dalam separuh akhir, hari ini.

Jaguh dari China itu menewaskan seorang lagi pemain remaja negara, Yeoh Kay Bin dalam pertarungan sengit yang berakhir dengan rubber game 15-1,1-15 dan 15-8 dalam masa 55 minit.

Pemain nombor satu negara itu beraksi cemerlang untuk menjinakkan lawannya dari Indonesia dalam masa 56 minit walaupun pernah ketinggalan pada kedudukan 2-9 pada set pertama perlawanan yang disaksikan oleh kira-kira 1,500 peminat badminton tanah air.

Naib juara piala dunia itu menggunakan pengalamannya untuk mengutip mata demi mata sebelum menyamakan kedudukan 9-9 selepas beberapa kali servis bertukar tangan.

Selepas menyamakan kedudukan, Choong Han terus membuktikan keunggulannya untuk mendahului Kuncoro sebelum menamatkan set pertama dengan kemenangan 15-13.

Ini adalah kejayaan kedua Choong Hann ke atas Kuncoro selepas mengalahkan lawannya pada pusingan suku akhir pada Kejohanan Badminton Dunia di Birmingham.

Perlawanan pada set kedua bertambah rancak apabila Kuncoro cuba bangkit untuk mengheret perlawanan ke rubber game bagaimanapun Choong Hann tidak memberi laluan mudah apabila mendahului 4-0 pada servis yang pertama.

Pada satu ketika, keadaan agak mencemaskan apabila Choong Hann ketinggalan 10-8, bagaimanapun dengan sokongan padu penonton beliau bangkit semula untuk menyamakan kedudukan dan seterusnya menamatkan set kedua 15-10.

SUMBERArtikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2003&dt=0906&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_02.htm#ixzz4dTvIpTp6
© Utusan Melayu (M) Bhd

Tiada ulasan:

Catat Ulasan