Jumaat, 13 Oktober 2017

Chong Wei, beregu mara -- Rexy pula kecewa satu lagi pasangan negara tewas




ARKIB : 16/08/2007 
Oleh NORZIE KHASBI
Aksi Lee Choong Wei ketika menang mudah ke atas pemain Belanda Eric Pang untuk mara ke pusingan ketiga Kejohanan Badminton Dunia di Stadium Putra Bukit Jalil, semalam.

KUALA LUMPUR – Pemain nombor satu negara, Lee Chong Wei dan beregu emas, Koo Kien Keat-Tan Boon Heong menepati ramalan awal dengan mencatat kemenangan mudah dalam perlawanan pembukaan masing-masing pada Kejohanan Dunia di Stadium Putra, Bukit Jalil semalam.

Bagaimanapun tamparan kepada jurulatih, Rexy Mainaky apabila satu lagi beregu didiknya, Mohd. Zakry Latif-Mohd. Fairuzizuan Tazari kecundang di pusingan kedua kepada beregu China, Guo Zhengdong-Xie Guangdong 14-21, 13-21, semalam.

Beliau yang sanggup memikul kegagalan itu jelas kecewa dan terus menyerahkan nasibnya kepada Persatuan Badminton Malaysia (BAM).

“Saya benar-benar kecewa,” katanya selepas menyaksikan perlawanan itu.

Kini tinggal Kien Keat-Boon Heong dan Chong Tan Fook-Lee Wan Wah untuk memenuhi harapan tinggi Rexy.

Sementara itu jaguh perseorangan negara, Muhammad Hafiz Hashim mempamer aksi meresahkan sebelum melepasi halangan pemain tidak ternama Ireland, Scott Evans 21-19, 14-21, 21-11.

Juara Seluruh England 2003 itu bakal berdepan pencabar baru yang tidak diduga, Anup Sridhar dari India, pemain yang mencuri tumpuan selepas mengejutkan juara dunia 2005, Taufik 21-14, 24-26, 22-20.

Turut mencuri tumpuan pada hari ketiga kejohanan adalah pasangan muda negara, Chan Peng Soon-Haw Chiou Hwee yang menumpaskan pilihan ke-15, Ingo Kindervater-Katrin Piotrowski dari Jerman untuk melangkah ke pusingan ketiga beregu campuran.

Chong Wei, yang turun ke gelanggang buat kali pertama selepas mendapat bye pada pusingan pembukaan menepati statusnya sebagai pilihan kedua apabila menang mudah 21-7, 21-11 ke atas pemain Belanda, Eric Pang.

Ujian sebenar pemain nombor tiga dunia itu hanya bermula hari ini apabila dia bakal berdepan bekas juara Asia dan perseorangan kedua Indonesia, Sony Dwi Kuncoro yang menundukkan pencabar dari Jepun, Yousuke Nakanishi 21-15, 21-16.

“Melepasi perlawanan pertama dengan kemenangan mudah menambah keyakinan saya untuk menghadapi cabaran seterusnya, namun menentang Sony esok pasti tidak mudah seperti hari ini,” kata Chong Wei.

Kien Keat-Boon Heong, antara calon untuk merangkul kejuaraan beregu lelaki dunia 2007 tidak menghadapi masalah besar untuk menumpaskan pasangan Jerman, Roman Spitko-Michael Fuchs 21-12, 21-13.

Juara Seluruh England itu juga tidak perlu berdepan pasangan berpengalaman England, Anthony Clark-Robert Blair seperti yang diramalkan pada peringkat awalnya selepas naib juara dunia itu tumpas mengejut kepada pasangan Poland, Michal Logosz-Robert Mateusiak 16-21, 16-21.

Naib juara Terbuka Malaysia, Wong Mew Choo muncul wakil tunggal Malaysia meneruskan cabaran perseorangan wanita selepas menumpaskan pemain Rusia, Ekaterina Ananina 21-14, 22-20 untuk mara ke pusingan ketiga.

Mew Choo, pilihan ke-10 bagaimanapun bakal berdepan ujian paling sukar hari ini apabila menentang penyandang juara dan pemain nombor dua dunia, Xie Xingfang yang tidak langsung tercabar ketika mengetepikan Ana Moura dari Portugal 21-2, 21-7.

Pemenang pingat emas Sukan SEA, Wong Pei Tty-Chin Eei Hui pula menjadi wakil tunggal beregu wanita negara dengan melayakkan diri ke pusingan ketiga selepas mengalahkan pasangan Bulgaria, Maya Dobreva-Atanaska Spasova 21-9, 21-7 untuk bertemu Miyuka Maeda-Satoko Suetsuna dari Jepun.

Cabaran seorang lagi perseorangan wanita negara, Julia Wong berakhir dengan kekalahan 21-16, 14-21, 18-21 kepada pemain Indonesia, Maria Kristin Yulianti.

Turut tersingkir ialah pemain perseorangan lelaki negara, Lee Tsuen Seng yang tewas kepada pemain China, Bao Chunlai 14-21, 21-18, 18-21.

Nasib yang sama turut menimpa Roslin Hashim yang tewas 20-22, 11-21 kepada pemain China, Chen Jin.

SUMBERArtikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2007&dt=0816&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_01.htm#ixzz4vOM1COQr
© Utusan Melayu (M) Bhd

Tiada ulasan:

Catat Ulasan