Selasa, 17 Oktober 2017

Terbuka Denmark: Kien Keat-Boon Heong ke akhir, Chong Wei tersingkir



 ARKIB : 28/10/2007

KUALA LUMPUR – Beregu nombor satu dunia, Koo Kien Keat-Tan Boon Heong menghampiri kejuaraan Siri Super keempat tahun ini apabila membenam juara dunia, Markis Kido- Hendra untuk mara ke perlawanan akhir Kejohanan Badminton Terbuka Denmark, semalam.

Bagaimanapun juara Terbuka Malaysia, Terbuka Switzerland dan Seluruh England itu menjadi wakil tunggal Malaysia beraksi di final hari ini selepas cabaran jaguh perseorangan negara, Lee Chong Wei berakhir di tangan pemain China, Bao Chunlai.

Kien Keat-Boon Heong, yang turut menjuarai kejohanan Terbuka Macau dan Filipina tahun ini hanya memerlukan 30 minit untuk menumpaskan pasangan Indonesia, Markis-Hendra 21-18, 21-10.

Kemenangan tersebut bakal menemukan mereka dengan jaguh veteran Denmark, Jens Eriksen-Martin Lundgaard Hansen yang terlebih dulu layak ke akhir selepas mengejutkan pasangan utama China, Fu Haifeng-Cai Yun 21-16, 21-23, 21-19.

Di atas kertas, Kien Keat-Boon Heong bukan saja menjadi pilihan untuk memenangi perlawanan hari ini kerana turun selaku pasangan nombor satu dunia, malah turut memegang rekod kemenangan 3-0 ke atas beregu berpengalaman Denmark itu.

Sementara itu, Chong Wei gagal dalam percubaan untuk merangkul kejuaraan Siri Super ketiganya tahun ini apabila mensia-siakan kelebihan memenangi set pertama selepas tewas 21-11, 18-21, 16-21 dalam pertarungan sengit yang berlarutan hingga satu jam.

Kekalahan tersebut, memusnahkan hasrat pemain nombor dua dunia itu untuk menambah koleksi kejuaraan selepas menang di Terbuka Indonesia dan Jepun.

Malah, Chong Wei, yang menyingkirkan jaguh Indonesia, Sony Dwi Kuncoro pada suku akhir kelmarin juga merupakan juara kejohanan Grand Prix Emas Terbuka Filipina, Julai lalu.

Dengan kemenangan Chunlai, China kini mengesahkan kejuaraan perseorangan lelaki selepas pemain nombor satu dunia, Lin Dan terlebih dulu menempah tiket final.

Juara dunia dan pilihan utama itu mara selepas mengetepikan jaguh tuan rumah dan bekas juara Eropah, Kenneth Jonassen 21-13, 20-22, 21-13 dalam satu lagi perlawanan separuh akhir.

SUMBERArtikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2007&dt=1028&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_02.htm#ixzz4vkMBLY4C
© Utusan Melayu (M) Bhd

Tiada ulasan:

Catat Ulasan