Sabtu, 14 Oktober 2017

Kim Hock-Chong Wei kena selesai sendiri – BAM



ARKIB : 31/08/2007

KUALA LUMPUR - Perbalahan antara ketua jurulatih kebangsaan, Yap Kim Hock dan pemain nombor satu negara, Lee Chong Wei bukan punca kegagalan pemain perseorangan negara itu pada Kejohanan Dunia, dua minggu lalu.

Perkara itu diakui sendiri Chong Wei dalam pertemuan ‘hati ke hati’ hampir sejam dengan Presiden Persatuan Badminton Malaysia (BAM), Datuk Nadzmi Salleh di Bukit Kiara, semalam.

Selepas meluangkan masa dengan jaguh perseorangan negara itu, Nadzmi memberi peluang kepada Kim Hock untuk menjelaskan keadaan dan semua pihak bersetuju bahawa masalah luaran bukan penyebab prestasi buruk Chong Wei ketika tumpas 11-21, 9-21 di tangan pemain Indonesia, Sony Dwi Kuncoro.

Nadzmi juga menegaskan, tiada bukti kukuh menyatakan Chong Wei menghadapi masalah peribadi dengan ketua jurulatih negara, biar pun perkara tersebut dibangkitkan pemain berkenaan kepada pemberita sejurus selepas kekalahannya itu.

Namun begitu, Nadzmi berkata, sebagai ketua jurulatih, beliau mahu Kim Hock mencari jalan untuk memperbaiki hubungannya dengan Chong Wei dalam memastikan persiapan Sukan Olimpik 2008 berjalan dengan baik.

‘‘Saya percaya dakwaan Lee Chong Wei bahawa Yap Kim Hock tidak berpuas hati dengannya hanya satu persepsi, tiada bukti mengatakan perkara itu berlaku. Kenyataan tersebut dibuat kerana mengikut emosi dan Chong Wei sendiri mengakui kesilapannya.

‘‘Bagaimanapun saya tidak bertemu dengan kedua-dua mereka hari ini untuk mencari jalan penyelesaian. Kalau benar wujud masalah peribadi, itu mereka kena selesaikan sendiri dengan cara mereka,’’ kata Nadzmi.

Ketika ditanya, adakah BAM akan mengenakan sebarang tindakan terhadap Chong Wei kerana mengeluarkan dakwaan yang seperti tidak menghormati ketua jurulatih negara, Nadzmi berkata, setiap orang wajar diberi peluang kedua.

Beliau juga percaya, tidak timbul isu pemain nombor tiga dunia itu perlu meminta maaf kepada Kim Hock tetapi berharap kedua-dua mereka akan menggunakan pendekatan paling kreatif untuk memulihkan hubungan masing-masing.

Sumber-Artikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2007&dt=0831&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_03.htm#ixzz4vYBSN8Nd
© Utusan Melayu (M) Bhd

Tiada ulasan:

Catat Ulasan