Selasa, 17 Oktober 2017

Chong Wei, beregu veteran ke separuh akhir



ARKIB : 03/11/2007 
KUALA LUMPUR – Beregu veteran negara, Choong Tan Fook-Lee Wan Wah kembali mempamerkan aksi meyakinkan apabila membenam juara dunia, Markis Kido- Hendra Setiawan untuk mengiringi Lee Chong Wei ke separuh akhir Kejohanan Badminton Terbuka Perancis, semalam.

Selepas dikritik hebat oleh jurulatih negara, Rexy Mainaky kerana aksi mengecewakan ketika kalah kepada pasangan tidak ternama Amerika Syarikat di Terbuka Denmark minggu lalu, Tan Fook-Wan Wah mempamerkan prestasi sebenar dengan menang 21-10, 20-22, 21-17 ke atas pasangan Indonesia itu.

Kemenangan yang dicatatkan dalam masa 41 minit itu memungkinkan mereka menentang rakan sepasukan dan beregu nombor satu dunia, Koo Kien Keat-Tan Boon Heong pada separuh akhir hari ini.

Kien Keat-Boon Heong yang mengalahkan pasangan veteran England, Robert Blair- David Lindley di pusingan kedua 21-19, 21-8 bertemu beregu utama Jepun, Tadashi Othsuka-Keita Masuda dalam perlawanan lewat pagi.

Juara Asia, Tan Fook-Wan Wah pula mengetepikan pasangan muda China, Sun Junjie-Xu Chen 23-21 21-13 dalam laluannya ke suku akhir.

Sementara itu, Chong Wei tidak langsung menunjukkan sebarang masalah untuk mara ke separuh akhir apabila hanya mengambil masa 41 minit untuk menundukkan pemain Hong Kong, Chan Yan Kit 21-10, 21-12.

Yan Kit terdahulu mengecewakan cabaran perseorangan negara, Muhammad Hafiz Hashim 24-22, 21-19 pada perlawanan pusingan kedua.

Chong Wei yang menyingkirkan pemain muda Indonesia, Simon Santoso 21-12, 21-16 di pusingan kedua akan menentang pemenang antara jaguh muda China, Chen Jin dan juara Eropah, Peter Gade dari Denmark.

Dalam perseorangan wanita, perseorangan utama negara, Wong Mew Choo meneruskan aksi cemerlang apabila mara ke suku akhir selepas menumpaskan pemain Kanada, Anna Rice 16-21, 21-9, 21-16.

Mew Choo yang mengejutkan pemain nombor lima dunia, Wang Cheng dari Hong Kong pada pusingan pertama menentang pemain Rusia, Ella Diehl dalam perlawanan suku akhir.

Terdahulu, cabaran pemain Kelab Raket Kuala Lumpur, Sairol Amar Ayob berakhir di pusingan kedua selepas tunduk 10-21, 11-21 kepada juara Terbuka Singapura, Boonsak Posana dari Thailand.

SUMBERArtikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2007&dt=1103&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_03.htm#ixzz4vlBOkqbt
© Utusan Melayu (M) Bhd

Tiada ulasan:

Catat Ulasan