Ahad, 15 Oktober 2017

Sengatan Chong Wei - Tewaskan Lin Dan untuk ke final Terbuka Jepun



 
ARKIB : 16/09/2007
LEE Chong Wei tidak dapat menahan perasaan terlalu gembira sambil mendakap jurulatihnya, Misbun Sidek selepas menewaskan Lin Dan pada separuh akhir Terbuka Jepun di Tokyo, semalam. – AFP.

KUALA LUMPUR - Jaguh nombor satu negara, Lee Chong Wei membuktikan keazamannya menebus kegagalan pada Kejohanan Dunia, Julai lalu apabila membenam juara dunia, Lin Dan untuk ke perlawanan akhir badminton Terbuka Jepun di Tokyo, semalam.

Chong Wei yang dikecewakan oleh jaguh Indonesia, Sony Dwi Kuncoro pada pusingan ketiga Kejohanan Dunia mempamerkan kebangkitan hebat ketika mencatat kemenangan straight-set 21-19, 21-15 ke atas Lin Dan.

Kemenangan dalam masa 41 minit itu turut menafikan hajat jaguh nombor satu dunia dari China itu untuk merangkul kejuaraan hatrik selepas mendominasi Terbuka Jepun pada 2005 dan 2006.

Selain menebus kegagalan penuh kontroversi pada Kejohanan Dunia, kemenangan semalam turut membawa Chong Wei menghampiri gelaran Siri Super keduanya musim ini selepas menjuarai Terbuka Indonesia, Mei lalu.

Bagaimanapun, pemain nombor empat dunia itu perlu melepasi cabaran getir juara Olimpik, Taufik Hidayat pada perlawanan akhir hari ini.

Taufik, yang turut beraksi buruk pada Kejohanan Dunia selepas dikejutkan oleh pemain India, Anup Sridhar pada pusingan kedua, mengetepikan rakan senegara dari Indonesia, Simon Santoso 21-14, 21-16.

Rekod pertemuan Taufik-Chong Wei berpihak kepada Taufik yang menang empat daripada enam pertemuan kedua-dua pemain, begitu pun bintang Indonesia itu kalah dalam perlawanan terakhir di China Masters, Julai lalu.

Semalam, Chong Wei mempamerkan semangat juang tinggi apabila bangkit daripada ketinggalan 5-11 pada set pertama sebelum mengejar Lin Dan untuk kemenangan 21-19.

Walaupun permainan set kedua agak perlahan, namun Chong Wei berjaya mempamer aksi yang konsisten dengan mendahului saingan 4-0 dan mengutip kebanyakan mata menerusi permainan di jaring.

‘‘Saya fikir Chong Wei mula mendapat rentak permainan sebaik berjaya mendahului pada set pertama. Dia bukan pemain dengan ranking yang rendah, dia adalah antara pemain terbaik di dunia, jadi kekalahan saya kepadanya bukan satu kejutan besar.

‘‘Saya juga percaya, Chong Wei amat terdesak untuk memperoleh keputusan terbaik kerana kami sedang mengharungi pusingan kelayakan Sukan Olimpik.

‘‘Bagi saya, sasaran minggu ini hanyalah untuk memberi aksi sebaik yang mungkin kerana saya masih dalam usaha memperbaiki pretasi ke tahap tertinggi,’’ kata Lin Dan.

Bagi jaguh nombor satu China itu, ini adalah kekalahan pertamanya dalam tempoh tiga bulan selepas menjuarai China Masters dan Kejohanan Dunia.

Chong Wei, yang terdahulu membenam bekas juara remaja dunia dan rakan senegara Lin Dan, Chen Jin di suku akhir pula mencatat kemenangan keempatnya ke atas pemain nombor satu dunia itu selepas menang dua kali di Terbuka Malaysia dan sekali pada Piala Sudirman, Jun lalu.

‘‘Biasanya saya tidak dapat memberikan permainan yang saya mahukan setiap kali berdepan Lin Dan, tetapi hari ini saya berjaya menemui rentak tanpa banyak kesilapan.

‘‘Sejak merangkul kejuaraan Terbuka Indonesia tahun ini, saya percaya saya boleh mengalahkan sesiapa pun. Kegagalan pada Kejohanan Dunia hanya satu kesilapan dan saya bersemangat untuk menebusnya,’’ kata Chong Wei pula.

Sementara itu, pemain Denmark, Tine Rasmussen memecah penguasaan China dalam perseorangan wanita apabila mengejutkan pilihan ketujuh, Lu Lan 21-19, 21-9.

Rasmussen kini akan menentang juara Seluruh England dan juara dunia 2006, Xie Xingfang yang mengetepikan pencabar dari Korea Selatan, Jun Jae-Youn 21-9, 21-17.

Dalam saingan beregu lelaki, juara baru dunia, Markis Kido-Hendra Setiawan dari Indonesia tumpas 13-21, 16-21 kepada rakan senegara, Luluk Hadiyanto-Alvent Yulianto.

Luluk-Alvent akan berdepan juara bertahan dan wakil Indonesia/Amerika Syarikat, Candra Wijaya-Tony Guawan yang menyingkirkan beregu Denmark, Lars Paaske-Jonas Rasmussen 19-21, 21-13, 23-21 dalam satu lagi saingan separuh akhir.

China juga sudah mengesahkan kejuaraan beregu wanita apabila dua pasangannya bertemu sesama sendiri di final hari ini dengan Yang Wei-Zhang Jiewen menentang Zhao Tingting-Yu Yang.

SUMBERArtikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2007&dt=0916&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_01.htm#ixzz4vdVOfc8S
© Utusan Melayu (M) Bhd

Tiada ulasan:

Catat Ulasan