Isnin, 23 Oktober 2017

Chong Wei rangkul kejuaraan ke-4 Terbuka Malaysia



ARKIB : 20/01/2008
20/01/2008 6:59pm

Oleh NORZIE MOHD. KHASBI

KUALA LUMPUR 20 Jan. - Jaguh perseorangan negara, Lee Chong Wei merangkul kejuaraan keempat kejohanan badminton Terbuka Malaysia selepas mengalahkan pemain Korea Selatan, Lee Hyun Il dalam perlawanan akhir di Stadium Putra, Bukit Jalil, di sini hari ini.

Turun sebagai pilihan pertama, pemain nombor dua dunia itu tenang ketika menewaskan Hyun Il, 21-15, 11-21, 21-17 dalam masa 61 minit, sekali gus menjadi pemain badminton pertama Malaysia berjaya menjuarai sebarang kejohanan di Stadium Putra.

Chong Wei, 25, yang turut memenangi Terbuka Malaysia 2004, 2005 dan 2006 meraih AS$15,000 (RM49,000) selaku juara, manakala Hyun Il, bekas pemain utama Korea, yang kini menduduki ranking ke-28 dunia membawa pulang AS$6,000.

Sementara itu, kejuaraan perseorangan wanita menjadi milik bintang Denmark, Tine Rasmussen yang melakar kejutan ke atas juara dunia, Zhu Lin dari China 18-21, 21-19, 21-18.

Kehebatan China selaku gergasi badminton dunia bagaimanapun masih diteruskan dengan menjuarai dua acara - beregu wanita dan campuran.

Dalam beregu campuran, He Hanbin-Yu Yang mengalahkan pasangan Korea, Lee Yong Dae-Lee Hyo Jung 21-14, 21-15, manakala pasangan nombor dua dunia, Yang Wei-Zhang Jiewen menewaskan beregu senegara, Gao Ling-Zhao Tingting 21-13, 16-21, 24-22 untuk muncul juara beregu wanita.

Perlawanan hari ini disaksikan oleh Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dan isterinya, Datin Seri Rosmah Mansor yang merupakan penaung baru Persatuan Badminton Malaysia (BAM).

Turut hadir, Menteri Belia dan Sukan, Datuk Seri Azalina Othman Said

SUMBERArtikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2008&dt=0120&pub=Utusan_Malaysia&sec=Terkini&pg=bt_11.htm#ixzz4wOn4EIn0
© Utusan Melayu (M) Bhd

Tiada ulasan:

Catat Ulasan