Jumaat, 27 Oktober 2017

Chong Wei tarik diri Terbuka Korea



ARKIB : 25/01/2008

KUALA LUMPUR – Lee Chong Wei terpaksa melupakan hasrat untuk memburu kejuaraan kedua berturut-turut selepas demam memaksa dia menarik diri pada pusingan kedua kejohanan badminton Terbuka Korea, semalam.

Chong Wei, yang turut dilanda demam ketika mengalahkan Lee Hyun Il pada perlawanan akhir Terbuka Malaysia minggu lalu, tidak mampu lagi meneruskan permainan apabila berdepan pemain Korea itu sekali lagi.

Selepas menang 21-19 pada set pertama, dia terpaksa akur dengan kekalahan 17-21 pada set kedua sebelum mengambil keputusan menarik diri.

Sekali pun memenangi set pembukaan, Chong Wei telah menunjukkan kepincangan sejak awal apabila ketinggalan 1-7, 7-12 dan 13-15 sebelum akhirnya berjaya mengejar pada kedudukan 15-15 dan menang 21-19.

Kedua-dua pemain saling kejar mengejar mata dengan rapat pada set kedua daripada kedudukan 3-3, 5-5, 6-6, 7-7, 8-8, 9-9, 15-15, 16-16 dan 17-17, sebelum Hyun Il akhirnya memintas untuk meninggalkan Chong Wei 21-17.

Dengan kekalahan Chong Wei, beregu wanita negara, Wong Pei Tty-Chin Eei Hui menjadi wakil tunggal Malaysia meneruskan cabaran ke suku akhir.

Pei Tty-Eei Hui bagaimanapun bakal berdepan cabaran sukar beregu handalan tuan rumah dan pilihan ketiga, Lee Kyung Wong-Lee Hyo Jung.

Semalam, pasangan nombor 10 dunia itu tidak menghadapi masalah untuk melepasi pusingan kedua apabila menundukkan Aki Akao-Tomomi Matsuda dari 21-12, 21-13.

Masalah kecederaan juga memaksa bekas pasangan nombor satu dunia, Chew Choon Eng-Chan Chong Ming menarik diri ketika sedang bersaing dengan beregu Korea, Lee Jae Sung-Lee Yong Dae pada set penentuan.

Choon Eng-Chong Ming kalah 13-21 pada set pembukaan, namun bangkit memenangi set kedua 23-21.

Tentangan hebat yang diberi oleh pasangan Korea pada hujung set kedua menyebabkan Choong Eng mengalami kecederaan lutut dan terpaksa melupakan saingan ketika ketinggalan 3-11 di set ketiga.

Sementara itu beregu nombor tiga negara, Mohd. Fairuzizuan Tazari-Mohd. Zakry Latif memberikan tentangan terbaik kepada pilihan keenam, Luluk Hadiyanto-Alvent Yulianto dari Indonesia sebelum akur 19-21, 21-19, 12-21.

Turut gagal meneruskan cabaran adalah perseorangan veteran, Wong Choong Hann yang mengheret pemain nombor tiga dunia, Bao Chunlai beraksi dalam rubber-game sebelum kalah 14-21, 21-15, 19-21.

Pemain remaja negara, Julia Wong juga memberikan tentangan hebat kepada juara Olimpik, Zhang Ning dari China sebelum tunduk 17-21, 21-19, 12-21.

Wakil Kelab Raket Kuala Lumpur (KLRC), Lim Pek Siah-Haw Chiou Hwee nyata bukan tandingan buat beregu handalan China, Gao Ling-Zhao Tingting apabila kalah 15-21, 7-21.

KEPUTUSAN

(Pusingan kedua, pemain Malaysia)

Perseorangan lelaki: Lee Hyun Il (Kor) kln LEE CHONG WEI LEE CHONG WEI 14-21, 21-17, tarik diri; Bao Chunlai kln WONG CHOONG HANN 21-14, 15-21, 21-19

Beregu lelaki: Luluk Hadiyanto-Alvent Yulianto (Ina) kln MOHD. FAIRUZIZUAN TAZARI-MOHD. ZAKRY LATIF 21-19, 19-21, 21-12; Lee Jae Sung-Lee Yong Dae (Kor) kln CHEW CHOON ENG-CHAN CHONG MING 21-13, 21-23, 11-3 tarik diri.

Perseorangan wanita: Zhang Ning (Chn) kln JULIA WONG 21-17, 19-21, 21-12

Beregu wanita: WONG PEI TTY-CHIN EEI HUI kln Aki Akao-Tomomi Matsuda (Jpn) 21-12, 21-13; Gao Ling-Zhao Tingting (Chn) kln LIM PEK SIAH-HAW CHIOU HWEE 21-15, 21-7

SUMBERArtikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2008&dt=0125&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_03.htm#ixzz4whiq9RZM
© Utusan Melayu (M) Bhd

Tiada ulasan:

Catat Ulasan