Ahad, 15 Oktober 2017

Chong Wei ketepikan Hafiz



ARKIB : 09/09/2007

Oleh: SHARIZA ABDULLAH

ALOR STAR – Pemain perseorangan lelaki nombor satu negara, Lee Chong Wei membuktikan kejaguhan dalam sirkit kebangsaan apabila menjuarai Kejohanan Badminton Kebangsaan Terbuka Kedah 2007 di sini semalam.

Chong Wei yang mengungguli Terbuka Pahang pada penghujung Mei lalu mengenepikan cabaran juara Seluruh England 2003 yang juga pemain nombor dua negara, Muhammad Hafiz Hashim 21-10, 21-6.

Selepas mempamerkan prestasi kurang memberangsangkan pada Kejohanan Dunia bulan lalu, Chong Wei yang memperagakan aksi bertenaga hanya mengambil masa 21 minit untuk menundukkan Muhammad Hafiz sekali gus melayakkannya membawa pulang RM4,000.

Juara Terbuka Indonesia itu ketika ditemui mengakui kemenangan berkenaan mempunyai makna yang tersendiri kepada dirinya kerana berjaya mengekalkan penguasaan dalam sirkit kebangsaan selama enam tahun berturut-turut sejak 2002.

Katanya lagi, tumpuan selepas ini adalah pusingan kelapan Siri Super di Jepun yang bermula 11 September ini dengan menjadikan kejohanan tersebut sebagai medan baginya mencari mata untuk kelayakan Sukan Olimpik di Beijing tahun depan.

Tambahnya, meskipun berjaya mengalahkan Muhammad Hafiz pada kejohanan ini, namun dia tidak mahu terlalu yakin dapat menumbangkan pemain itu sekali lagi di Jepun apabila dijadualkan bertembung pada pusingan pertama memandangkan taraf pertandingan adalah berbeza.

Sementara itu, gandingan emas Koo Kien Keat-Tan Boon Heong muncul juara beregu lelaki setelah menumpaskan juara Asia, Choong Tan Fook-Lee Wan Wah 21-16, 22-20.

Juara Seluruh England itu mengambil masa 21 minit untuk menundukkan Tan Fook-Wan Wah, sekali gus membawa pulang RM6,000.

Dalam perseorangan wanita, pilihan pertama kejohanan, Julia Wong menepati ramalan untuk muncul juara apabila menewaskan pemain muda berusia 16 tahun, Tee Jing Yi dan meraih hadiah kemenangan RM2,000.

SUMBERArtikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2007&dt=0909&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_04.htm#ixzz4vZOFVxMU
© Utusan Melayu (M) Bhd

Tiada ulasan:

Catat Ulasan