Jumaat, 13 Oktober 2017

Eddy Choong tegur sikap Chong Wei



ARKIB : 18/08/2007

KUALA LUMPUR – Legenda badminton negara, Datuk Eddy Choong, semalam menyelar sikap pemain nombor satu Malaysia, Lee Chong Wei kerana menyalahkan orang lain atas kekalahan mengejutnya kepada pemain Indonesia, Sony Dwi Kuncoro pada pusingan ketiga Kejohanan Dunia, kelmarin.

Chong Wei, pilihan kedua kejohanan kalah mudah 11-21, 9-21 kepada pemain nombor dua Indonesia itu, dan sejurus tamat perlawanan dia mendedahkan kepada pemberita bahawa faktor luaran antara punca utama yang mendorong kepada kekalahan tersebut.

‘‘Apa yang dirungutkan oleh Chong Wei? Saya percaya sebagai pemain anda tidak boleh menyalahkan jurulatih atau guru anda kerana kekalahan anda. Apabila anda berada di atas gelanggang, semuanya terserah kepada persembahan anda dan tiada perkara lain yang patut menganggu.

‘‘Apa yang dapat saya lihat semalam, Chong Wei tidak berusaha dengan gigih dan saya sangat kecewa melihat permainannya. Saya lebih menghormati Roslin (Hashim), biar pun kalah kepada Chen Jin dia menunjukkan kesungguhan dalam permainannya, jadi dia keluar gelanggang dengan rasa hormat,” kata Eddy.

Eddy, juara perseorangan Seluruh England 1953, 1954, 1956 dan 1957, selain juara beregu lelaki Seluruh England 1952, 1953 dan 1954 berkata, dia sanggup turun dari Pulau Pinang ke Kuala Lumpur semata-mata untuk melihat Chong Wei beraksi.

SUMBER-Artikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2007&dt=0818&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_04.htm#ixzz4vOhh0zPm
© Utusan Melayu (M) Bhd

Tiada ulasan:

Catat Ulasan