Jumaat, 20 Oktober 2017

Peluang Chong Wei, Mew Choo samar



ARKIB : 08/01/2008

KUALA LUMPUR – Dua perseorangan utama negara, Lee Chong Wei dan Wong Mew Choo diulit resah seminggu menjelang Kejohanan Badminton Terbuka Malaysia kerana masih dibelenggu kecederaan.

Kedua-dua pemain mengalami kecederaan yang serupa pada lutut kanan - masalah yang memaksa Mew Choo diketepikan dari Sukan SEA bulan lalu.

Bagaimanapun, bagi pemain nombor dua dunia, Chong Wei, dia tetap optimis mengenai peluang untuk merampas kembali kejuaraan, meski pun mengakui masih terasa sakit ketika menjalani latihan.

Keyakinan Chong Wei itu sememangnya boleh dipercayai kerana dia berjaya melayakkan diri ke perlawanan akhir Terbuka China dan Hong Kong, November lalu dalam keadaan yang cedera ketika itu.

Chong Wei yang kalah kepada pemain China - Bao Chunlai dan Lin Dan dalam kedua-dua kejohanan tersebut berkata, kesakitan pada lutut kanannya kadang kala menimbulkan keadaan kurang selesa, terutama ketika sedang menjalani latihan berat.

‘‘Kadang kala saya masih berasa sakit ketika berlatih, dan bila sakit itu datang, apa yang boleh saya lakukan adalah mengurangkan dos latihan. Ia memang tidak begitu menyenangkan kerana saya tetap perlu meneruskan latihan.

‘‘Bagaimanapun ia cuma satu keadaan yang kurang selesa dan bukanlah sehingga mampu menjejaskan. Saya yakin saya masih boleh memberikan permainan terbaik dan harap dapat memenangi gelaran sekali lagi,’’ kata Chong Wei.

Chong Wei, 25, merangkul kejuaraan hatrik Terbuka Malaysia dari 2004-2006, sebelum terlepas gelaran kepada jaguh Denmark, Peter Gade tahun lalu.

Sementara itu, peluang Mew Choo untuk mengulangi atau mengatasi pencapaian muncul naib juara tahun lalu tampak kurang meyakinkan kerana masih dibelenggu kecederaan.

Meski pun mengharungi musim 2007 yang cemerlang, apabila melakar sejarah menjuarai Terbuka China,dan berjaya mengalahkan semua pemain utama dunia sepanjang tahun itu, namun dia gagal berada dalam keadaan terbaik menjelang Terbuka Malaysia.

‘‘Peluang untuk mengulangi pencapaian tahun lalu tidak mudah, terutama dengan Xie Xingfang (pemain nombor satu dunia) menanti di suku akhir dan saya pula belum pulih sepenuhnya daripada kecederaan.

‘‘Bagaimanapun saya pernah menewaskan pemain-pemain terbaik dunia sepanjang 2007, malah menewaskan Xingfang di Kejohanan Dunia, harap ia akan menjadi motivasi untuk menghadapi Terbuka Malaysia,’’ kata Mew Choo.

Pemain nombor lapan dunia itu, yang akan memulakan kempen dengan menentang rakan senegara, Julia Wong, diikuti pemain Singapura, Li Li, kalah kepada juara dunia, Zhu Lin dari China pada perlawanan akhir tahun lalu.

Chong Wei, yang diletakkan sebagai pilihan pertama pula terpaksa berdepan rakan sepelatih, Muhd. Hafiz Hashim pada pusingan pertama, sebelum dijangka menentang juara Olimpik, Taufik Hidayat dari Indonesia di suku akhir.

SUMBERArtikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2008&dt=0108&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_04.htm#ixzz4w7TEVsWZ
© Utusan Melayu (M) Bhd

Tiada ulasan:

Catat Ulasan