Ahad, 15 Oktober 2017

Chong Wei, Hafiz tentukan juara Terbuka Kedah



ARKIB : 08/09/2007

ALOR STAR – Saingan akhir Kejohanan Badminton Kebangsaan Proton Terbuka Kedah 2007 hari ini bakal menyajikan aksi tahap tertinggi badminton negara apabila dua jaguh perseorangan lelaki dan beregu lelaki negara akan berentap bagi menentukan kejuaraan.

Pemain nombor satu negara, Lee Chong Wei akan bertemu juara Seluruh England 2003, Muhammad Hafiz Hashim dalam acara akhir perseorangan lelaki manakala pasangan nombor dua dunia Koo Kien Keat-Tan Boon Heong akan bertarung dengan juara Asia, Choong Tan Fook-Lee Wan Wah.

Chong Wei yang juga merupakan pilihan pertama kejohanan jelas dilihat berada pada kelas tersendiri apabila mengetepikan cabaran pilihan ke-3/4 kejohanan, Yeoh Kay Bin 23-21, 21-12.

Muhammad Hafiz pula terpaksa bergelut sehingga tiga set sebelum menjinakkan Tan Chun Seang 21-13, 12-21, 21-18.

Pasangan emas Kien Keat-Boon Heong menepati ramalan mara ke perlawanan akhir beregu lelaki apabila menundukkan Chew Choon Eng-Hong Chieng Hun 21-18, 21-12.

Tugas getir dijangka menanti juara Seluruh England itu apabila akan bertemu beregu senior yang merangkul pingat gangsa tunggal buat Malaysia pada Kejohanan Dunia lalu, Tan Fook-Wan Wah.

Tan Fook-Wan Wah mara menumpaskan Ng Kean Kok-Tan Bin Shen 21-11, 21-11.

Bagaimanapun, kejutan besar berlaku dalam acara perseorangan wanita apabila pemain remaja negara berusia 16 tahun, Tee Jing Yi menyingkirkan pilihan kedua kejohanan dan bekas juara kebangsaan, Anita Raj Kaur 21-14, 21-16.

Jing Yi yang belum pernah beraksi pada perlawanan akhir di peringkat senior bakal berdepan dengan pilihan pertama, Julia Wong yang terlebih dahulu menempah aksi akhir selepas menewaskan Stephanie Salini 21-15, 21-17.

Perlawanan akhir beregu wanita pula menemukan Anita Raj Kaur-Julia Wong dengan Fong Chew Yen-Mooi Hing Yau sementara beregu campuran menyaksikan pertemuan antara pasangan Gan Teik Chai-Fong Chew Yen dengan Lim Khim Wah-Ng Hui Lin.

Kesemua perlawanan bermula 6 petang.

SUMBERArtikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2007&dt=0908&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_10.htm#ixzz4vYy7splF
© Utusan Melayu (M) Bhd

Tiada ulasan:

Catat Ulasan