Isnin, 23 Oktober 2017

Chong Wei dipaksa kerja keras



 
CHONG WEI mara ke suku akhir selepas menewaskan Przemyslaw semalam.
 PEMAIN No. 1 negara, Lee Chong Wei dipaksa bekerja keras sebelum berjaya menempah slot ke pusingan suku akhir Kejohanan Badminton Terbuka Malaysia semalam.

Chong Wei yang diletakkan sebagai pilihan pertama, menewaskan pemain Poland, Wacha Przemyslaw 21-5, 15-21, 21-8 pada pusingan kedua di Stadium Putra Bukit Jalil.

Meskipun beraksi cemerlang apabila hanya mengambil masa sepuluh minit untuk menang dalam set pertama, pemain kelahiran Pulau Pinang itu dipaksa bermain hingga rubber set selepas seringkali melakukan kesilapan dalam set kedua sebelum kembali bangkit dalam set terakhir.

“Hari ini (semalam) saya gagal mempamerkan permainan terbaik,” kata Chong Wei.

“Pada set pertama, saya bermain seperti biasa tetapi pada set kedua, saya sedikit lemah apabila terpaksa melawan angin. Saya mula bermain perlahan dan Wacha pula bijak mengambil kesempatan.”

Pada pusingan suku akhir hari ini, Chong Wei bakal menentang pemain Indonesia, Simon Santoso yang beraksi cemerlang menewaskan rakan senegaranya, Taufik Hidayat 21-18 21-16.

Menurut Chong Wei, jika dia terus bermain seperti semalam, dia pasti akan berdepan masalah apabila bertemu Simon yang pernah menewaskannya sebanyak dua kali daripada tiga pertemuan sebelum ini.

“Simon masih muda dan mempunyai tenaga yang luar biasa,” kata Chong Wei.

“Jika saya terus bermain seperti tadi (semalam), saya pasti akan dapat susah. Bagaimanapun, saya tetap berharap saya dapat melakukan yang lebih baik pada perlawanan menentang Simon.”

Dalam pada itu, Simon yang memburu tiket ke Sukan Olimpik di Beijing Ogos ini, sedar Chong Wei lebih bersedia berbanding pada pertemuan mereka sebelum ini.

“Chong Wei kini lebih matang dan lebih stabil berbanding pada pertemuan kami sebelum ini,” kata Simon yang merupakan pemain No. 3 Indonesia.

“Begitupun, saya akan tetap berusaha kerana saya perlu mengutip mata untuk melayakkan diri ke Sukan Olimpik.”

Sementara itu, kejayaan Chong Wei gagal diteruskan oleh seorang lagi pemain perseorangan lelaki negara, Sairul Amar Ayob yang tewas kepada pemain Korea Selatan, Shon Seung Mo 20-22, 21-5, 17-21.

Satu-satunya wakil beregu campuran negara, Mohd. Razif Abdul Latif-Chong Sook Chin turut tersingkir apabila tewas kepada pasangan Thailand, Sudket Prapakamol-Saralee Thoungthongkam 18-21, 16-21

SUMBERArtikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2008&dt=0118&pub=Kosmo&sec=Sukan&pg=su_01.htm#ixzz4wKT6wdgb
Hakcipta terpelihara

Tiada ulasan:

Catat Ulasan