Sabtu, 14 Oktober 2017

Chong Wei, Hafiz mangsa undian terburuk



ARKIB : 29/08/2007

KUALA LUMPUR – Undian badminton Terbuka Jepun, 11-16 September ini pasti yang terburuk dalam sejarah Siri Super apabila ramai pemain utama terpaksa berdepan rakan senegara di peringkat awal, termasuk dua pemain utama negara, Lee Chong Wei dan Muhammad Hafiz Hashim yang ditemukan pada pusingan pertama.

Jika Chong Wei berjaya melepasi Hafiz, menanti pada pusingan kedua adalah naib juara dunia, Sony Dwi Kuncoro dari Indonesia, pemain yang mengalahkannya 21-11, 21-9 pada pusingan ketiga Kejohanan Dunia, dua minggu lalu.

Beregu nombor dua dunia, Koo Kien Keat-Tan Boon Heong juga terpaksa berdepan rakan sepasukan, Tan Bin Shen-Ong Soon Hock pada pusingan pembukaan, dan jika salah satu berjaya melangkah ke suku akhir, menanti mereka adalah beregu senior, Choong Tan Fook-Lee Wan Wah.

Juara baru dunia, Markis Kido-Hendra Setiawan dari Indonesia tidak terlepas daripada bertemu rakan senegara pada pusingan pertama apabila menentang Hendra Gunawan-Joko Riyadi, manakala beregu nombor satu dunia, Fu Haifeng-Cai Yun dari China memulakan kempen menentang beregu nombor dua negaranya, Guo Zhendong-Xie Zhongbo.

Pada ketika pemain Malaysia berharap untuk menggunakan Terbuka Jepun sebagai gelanggang kebangkitan selepas prestasi buruk di Kejohanan Dunia, undian yang sebegini pasti menyulitkan lagi keadaan.

Pusingan kelapan dalam kalendar Siri Super itu penting buat pemain negara untuk memulihkan keyakinan dalam proses kelayakan Sukan Olimpik 2008, terutama selepas Terbuka India, yang dijadual berlangsung seminggu lebih awal dibatalkan atas masalah keselamatan.

Mohd. Roslin Hashim dan Wong Choong Hann turut menggalas cabaran perseorangan dan diletak dalam undian bersama juara dunia, Lin Dan, Peter Gade, Chong Wei, Hafiz dan Sony.

Choong Hann memulakan kempen dengan menentang Gade, Roslin pula dijangka bertemu Lin Dan pada pusingan kedua. Sairul Amar Ayob dan Lee Tsuen Seng masing-masing akan bertemu Chen Jin dari China dan Simon Santoso dari Indonesia di pusingan pertama.

Pasangan muda negara, Mohd. Fairuzizuan Tazari-Mohd. Zakry Latif pula akan memulakan saingan dengan menentang naib juara dunia, Jung Jae Sung-Lee Yong Dae dari Korea.

Pemain wanita negara, Wong Mew Choo juga tidak terlepas daripada undian sukar bertemu Xie Xingfang dari China.

SUMBER-Artikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2007&dt=0829&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_03.htm#ixzz4vWsHYIEn
© Utusan Melayu (M) Bhd

Tiada ulasan:

Catat Ulasan