Isnin, 23 Oktober 2017

Pertembungan semula Chong Wei, Hyun Il

CHONG WEI menang mudah pada perlawanan menentang pemain Kanada, Andrew Dabeka semalam.

ULANGAN perlawanan akhir Terbuka Malaysia minggu lalu bakal berulang hari ini apabila pemain perseorangan negara, Lee Chong Wei turun menentang pemain tuan rumah, Lee Hyun Il pada pusingan kedua Kejohanan Badminton Terbuka Korea.

Chong Wei yang diletakkan selaku pilihan kedua kejohanan memastikan kemaraan selepas menang mudah 21-9, 21-9 ke atas pemain Kanada, Andrew Dabeka manakala Hyun Il menewaskan Sho Sasaki dari Jepun 21-14, 21-19.

Pada perlawanan akhir Terbuka Malaysia di Stadium Putra, Bukit Jalil Ahad lalu, Chong Wei memastikan gelaran pertamanya bagi musim ini selepas menewaskan Hyun Il 21-15, 11-21, 21-17.

Begitupun, pemain utama negara itu bakal berdepan cabaran sebenar hari ini apabila Hyun Il akan turun berbekalkan kelebihan selaku tuan rumah, sama seperti yang dialami Chong Wei ketika muncul juara Terbuka Malaysia minggu lalu.

Berdasarkan rekod pertemuan, Chong Wei memiliki kelebihan apabila memenangi lima daripada sembilan pertemuan menentang pemain rangking ke-28 dunia itu.

Dalam pada itu, nasib malang terus menyelubungi Muhd. Hafiz Hashim apabila terkandas pada pusingan pertama semalam selepas tewas kepada pemain Indonesia, Simon Santoso 10-21, 12-21.

Turut menerima nasib yang sama ialah empat lagi pemain perseorangan lelaki.

Sairul Amar Ayob tewas kepada pemain Hong Kong, Chan Yan Kit 13-21, 17-21 sementara Yeoh Kay Bin dan Muhd. Roslin Hashim masing-masing tewas kepada pemain Sony Dwi Kuncoro dari Indonesia dan Shoji Sato dari Jepun.

Kedudukan Lee Tsuen Seng juga tidak menentu apabila tewas rakan senegara, Wong Choong Hann dalam permainan tiga set 21-19, 16-21, 10-21.

Dalam acara beregu lelaki, dua wakil negara, Chew Choon Eng-Chan Chong Ming dan Mohd. Zakry Latif-Mohd. Fairuzizuan Tazari berjaya melepasi pusingan pertama semalam.

Choon Eng-Chong Ming bagaimanapun terpaksa bekerja keras menewaskan pemain Korea, Cho Gun Woo-Yoo Yeon Seong 24-26 21-18 21-19 sementara Zakry-Fairuzizuan tidak berdepan masalah menundukkan pasangan Rusia, Vitalij Durkin-Alexandr Nikolaenko 21-5 21-13.

Pada pusingan kedua hari ini, Choon Eng-Chong Ming akan berdepan beregu pilihan ketiga dari Korea, Jung Jae Sung-Lee Yong Dae Lee.

Zakry-Fairuzizuan pula bakal diuji beregu pilihan keenam dari Indonesia, Luluk Hadiyanto-Alvent Yulianto.

SUMBERArtikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2008&dt=0124&pub=Kosmo&sec=Sukan&pg=su_01.htm#ixzz4wLQp4Ehq
Hakcipta terpelihara

Tiada ulasan:

Catat Ulasan