Jumaat, 27 Oktober 2017

Chong Wei tamatkan ‘badi’



ARKIB : 21/01/2008
Oleh NORZIE MOHD. KHASBI
Lee Chong Wei melompat meraikan kemenanganya selepas mengalahkan Lee Hyun Il dari Korea pada pusingan akhir Kejohanan Badminton Terbuka Malaysia 2008 di Stadium Putra, Bukit Jalil, semalam. – Gambar ASWAD YAHYA.

KUALA LUMPUR – “Anda memang boleh menang bila mampu menangani situasi tegang dan tekanan dengan baik.” Itulah kata-kata ringkas yang diluahkan oleh Li Mao kepada Lee Chong Wei sejurus bekas anak didiknya itu berjaya menundukkan pemainnya, Lee Hyun Il dalam perlawanan akhir badminton Terbuka Malaysia, semalam.

Chong Wei ‘menamatkan badi’ Stadium Putra dengan muncul pemain badminton pertama negara merangkul kejuaraan di Bukit Jalil selepas mempamer aksi mantap ketika menundukkan pemain Korea Selatan, Hyun Il 21-15, 11-21, 21-17 dalam masa 61 minit.

Sejurus tamat perlawanan, dia meluahkan kegembiraan dengan memeluk jurulatihnya, Misbun Sidek sebelum mendapatkan pula Li Mao dan turut memeluk jurulatih dari China itu.

Ini merupakan kejuaraan Terbuka Malaysia keempat buat Chong Wei selepas turut merangkulnya pada 2004, 2005 dan 2006 tetapi pemain itu tersingkir pada suku akhir 2007.

Malah, Chong Wei, 25, juga menjadi perseorangan terbaik Malaysia pada kejohanan era moden ini, mengatasi rekod tiga kejuaraan yang diraih Rashid Sidek pada 1990, 1991 dan 1992.

Begitu pun rekod terbaik keseluruhan masih dipegang oleh legenda badminton negara, Wong Peng Soon yang memenanginya sebanyak lapan kali pada 1940, 1941, 1947, 1949, 1950, 1951, 1952 dan 1953.

Kemenangan terbaru Chong Wei ini mengukuhkan lagi pemburuan perseorangan utama Malaysia itu untuk merampas kedudukan pemain nombor satu dunia, yang kini dipegang oleh jaguh China, Lin Dan.

Meskipun kalah mudah 11-21 pada set kedua, namun Chong Wei, yang mengakui kembali mendapat khidmat pakar psikologi Majlis Sukan Negara (MSN), Fred Tan, tetap kelihatan tenang sepanjang perlawanan.

“Hubungan saya dan Li Mao masih baik walau pun kami sudah tidak berlatih bersama. Dia selalu memberi pandangannya setiap kali saya selesai menyertai sesuatu kejohanan, selalunya kami berhubung menggunakan telefon atau internet.

“Hari ini pun dia ada komen mengenai permainan saya dengan Hyun Il. Dia kata tangan saya agak keras dan saya nampak resah, tetapi sekarang saya sedang berusaha menangani tekanan dengan mendapatkan khidmat pakar psikologi dari MSN, rasanya ia memberi petanda awal yang positif,” kata Chong Wei.

Menurut pemain nombor dua dunia itu, kemenangan semalam merupakan cara terbaik untuk memulakan tahun baru, malah telah meningkatkan lagi keyakinannya untuk mengharungi musim 2008 yang amat mencabar dengan Sukan Olimpik Beijing menjadi fokus kebanyakan pemain.

Walau pun bunyinya agak klise apabila Chong Wei mengatakan dia tidak sangka boleh menang, tetapi jaguh badminton nombor satu negara itu memang benar-benar memaksudkan apa yang dikatakan itu selepas keadaan kesihatannya yang kurang baik sejak awal kejohanan.

“Saya memang tidak sangka boleh menang untuk kali keempat kerana saya bukan saja demam sejak hari pertama, malah bermain di stadium di mana pemain-pemain Malaysia tidak pernah menang.

“Sudah tentu ia adalah cara yang baik untuk memulakan tahun baru, namun saya harap prestasi baik ini dapat dikekalkan sepanjang tahun dan sehingga Sukan Olimpik,” kata Chong Wei.

Pada set pertama semalam, Chong Wei mengawal gelanggang dengan mudah menerusi rentak permainan pantas yang gagal dikejar Hyun Il, begitu pun pada set kedua permainannya sedikit perlahan selepas pencabar dari Korea itu berjaya mencari peluang.

Kata Chong Wei, apa yang ditakuti hampir menjadi kenyataan kerana Li Mao berjaya mengesan kelemahannya dan menyuruh anak didiknya itu menghukum sepenuhnya kelemahan tersebut.

“Nasib baik saya lebih tenang sekarang. Saya tidak mahu bermain mengikut perasaan, saya kembali dengan permainan biasa di set ketiga dan memaksa Hyun Il tertekan.

“Ia menjadi kenyataan dan dia mula melakukan banyak kesilapan sebelum saya membenarkan dia mendahului perlawanan hingga ke akhir,” katanya lagi, yang dijangka bertemu Hyun Il sekali lagi pada pusingan kedua Terbuka Korea, minggu depan.

Kejuaraan terbaru ini membolehkan Chong Wei meraih AS$15,000 (RM49,000) selaku juara.

Hadiah-hadiah disampaikan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dan isteri, Datin Seri Rosmah Mansor yang merupakan penaung Persatuan Badminton Malaysia (BAM).

Turut hadir ialah Menteri Belia dan Sukan, Datuk Seri Azalina Othman Said.

Sementara itu, pemain Denmark, Tine Rasmussen mencuri tumpuan dengan mengejutkan juara dunia, Zhu Lin untuk muncul pemain Eropah pertama merangkul kejuaraan perseorangan wanita dalam sejarah 71 tahun kejohanan.

Pemain nombor 10 dunia itu menang 18-21, 21-19, 21-18, sekali gus menjadi pemain wanita pertama menikmati hadiah kemenangan yang sama banyak dengan lelaki, AS$15,000. Kejuaraan beregu wanita pula kekal milik China selepas pasangan Yang Wei-Zhang Jiewen menundukkan beregu senegara, Gao Ling-Zhao Tingting 21-13, 16-21, 24-22.

China turut pulang gelaran beregu campuran menerusi He Hanbin-Yu Yang yang menumpaskan pasangan Korea Selatan, Lee Yong Dae-Lee Hyo Jung 21-14, 21-15.

Indonesia merangkul kejuaraan tunggal dalam acara beregu lelaki menerusi juara dunia dan pasangan nombor dua dunia, Markis Kido-Hendra Setiawan yang menumpaskan gandingan Denmark, Lars Paaske-Jonas Rasmussen, 21-10, 20-22, 21-18.

sumberArtikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2008&dt=0121&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_01.htm#ixzz4wh9UZZIH
© Utusan Melayu (M) Bhd

Tiada ulasan:

Catat Ulasan