Khamis, 12 Oktober 2017

Lin Dan pilih Chong Wei



ARKIB : 08/08/2007 
Oleh NORZIE MOHD. KHASBI 
KUALA LUMPUR – Bintang nombor satu dunia China, Lin Dan memilih Lee Chong Wei sebagai lawan yang mahu ditentang pada perlawanan akhir Kejohanan Badminton Dunia, minggu depan.

Lin Dan atau dikenali sebagai “Super Dan’’ di negaranya memberitahu media tempatan bahawa dia mahu bertemu pemain Malaysia itu, meski pun sedar Chong Wei bakal mendapat sokongan padu penyokong tuan rumah sepanjang kejohanan berlangsung di Stadium Putra, Bukit Jalil, 13-19 Ogos ini.

Bagaimanapun untuk memastikan perlawanan akhir impiannya menjadi kenyataan, juara Seluruh England itu perlu terlebih dulu melepasi halangan juara Olimpik, Taufik Hidayat dari Indonesia, rakan senegara, Bao Chunlai atau jaguh Denmark, Kenneth Jonassen.

“Saya mahu menentang Lee Chong Wei pada perlawanan akhir.

“Bagaimanapun, saya perlu mengambil perlawanan satu demi satu dan memberi tumpuan kepada lawan-lawan sukar yang bakal ditentang di peringkat lebih awal seperti Taufik,’’ kata Lin Dan kepada media tempatan kelmarin.

Juara Terbuka Korea, Jerman dan China Masters 2007 itu optimis dia mampu mempertahankan kejuaraan yang dimenangi di Madrid, tahun lalu meski pun sedar ia tidak mudah.

Lin Dan, 25, yang menumpaskan Chunlai pada perlawanan akhir tahun lalu memperoleh bye di pusingan pertama.

Pemain nombor satu dunia itu dijangka tidak menghadapi masalah untuk melepasi pusingan kedua apabila bertemu pemain Hong Kong, Ng Wei atau Roman Spitko dari Jerman.

Dia juga sepatutnya tidak mempunyai kesukaran untuk melepasi cabaran pusingan ketiga, di mana pilihan ke-15, Dicky Palyama adalah calon pemain yang menanti.

Ujian sebenar Lin Dan hanya tiba pada peringkat suku akhir, di mana Taufik bakal menanti jika jaguh Indonesia itu berjaya mengalahkan perseorangan negara, Muhammad Hafiz Hashim di pusingan ketiga, dan jika mara ke separuh akhir, dia dijangka berdepan Chunlai.

Kali terakhir Lin Dan menentang seteru utamanya itu adalah pada pusingan awal Terbuka Malaysia, Januari lalu, di mana dia membawa pulang kemenangan.

Sementara itu bagi Chong Wei, perlawanan akhir impiannya adalah menentang Taufik atau Lin Dan, tetapi dia sedar bertemu Lin Dan jauh lebih menyukarkan, apatah lagi dia kalah tiga daripada enam pertemuan dengan jaguh China itu.

Kekalahan terakhirnya adalah di separuh akhir China Masters, Julai lalu, namun Chong Wei berjaya menewaskan Lin Dan ketika dua-dua pemain bertemu dalam kejohanan berpasukan Piala Sudirman di Glasgow, Jun lalu.

“Lin Dan adalah pemain yang mampu membuatkan anda kelihatan seperti orang bodoh di dalam gelanggang. Dia sering mengutip mata penting daripada smash yang tidak dijangkakan, dan memiliki permainan yang nakal.

“Permainan Lin Dan boleh menyebabkan lawan berasa gugup, tetapi bukan baru sekali saya pernah bermain dengannya. Biar pun rekod pertemuan tidak berpihak kepada saya, tetapi pengalaman banyak membantu saya lebih sedia menghadapinya,’’ kata Chong Wei, juara Terbuka Indonesia dan Filipina.

Seperti Lin Dan, Chong Wei, 25, juga menegaskan, dia tidak mahu terlalu memikirkan tentang perlawanan akhir, sebaliknya memberi tumpuan satu demi satu kepada pusingan awal yang turut menyukarkan.

Selepas menerima bye pada pusingan pertama, pemain nombor dua dunia itu dijangka bertemu Eric Pang dari Belanda di pusingan kedua, dan ujian sebenarnya adalah bekas juara Asia, Sony Dwi Kuncoro dari Indonesia di pusingan ketiga.

Andai berjaya melepasi halangan Sony, menanti pada saingan suku akhir pula adalah juara Eropah, Peter Gade dari Denmark, manakala dua pemain muda China, Chen Jin dan Chen Yu adalah lawan yang berpotensi ditemui di separuh akhir.

Pasukan Denmark akan tiba di Kuala Lumpur hari ini, dan kontinjen besar China menyusul tiba esok, diikuti Korea Selatan (Jumaat) dan Indonesia pada hari Sabtu.

SUMBERArtikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2007&dt=0808&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_01.htm#ixzz4vIhZF6Lm
© Utusan Melayu (M) Bhd

Tiada ulasan:

Catat Ulasan