Jumaat, 13 Oktober 2017

Peluang Chong Wei bangkit



ARKIB : 22/08/2007

Oleh NORZIE MOHD. KHASBI

KUALA LUMPUR – Selepas mempamer prestasi buruk yang mengundang kritikan pada Kejohanan Dunia minggu lalu, jaguh perseorangan negara, Lee Chong Wei diberi peluang pertama untuk memulihkan imej apabila turun sebagai pilihan utama badminton Terbuka India, 4-9 September ini.

Walau pun hanya kejohanan kecil, namun kemenangan mampu mengembalikan reputasi Chong Wei, yang mahu memulihkan keyakinan dan emosinya, terutama untuk mengharungi tempoh kelayakan Sukan Olimpik 2008.

“Saya telah melakukan kesilapan pada Kejohanan Dunia, tetapi saya diberi peluang menebusnya dan saya tidak akan mensia-siakan kesempatan itu.

“Tidak kiralah ia kejohanan kecil atau besar, dalam tempoh kelayakan Sukan Olimpik semua kejohanan amat penting. Saya perlu memburu mata untuk mengukuhkan kedudukan kerana kita tidak tahu apa akan berlaku pada masa akan datang,’’ kata Chong Wei.

Melihat kepada undian semalam, pemain nombor tiga dunia itu memiliki laluan yang baik, namun ia boleh jadi lebih sukar daripada yang dijangkakan seperti yang berlaku di Stadium Putra, Bukit Jalil minggu lalu.

Di atas kertas, pemain nombor satu negara itu, yang masih dibayangi kekalahan 11-21, 9-21 kepada jaguh Indonesia, Sony Dwi Kuncoro pada pusingan ketiga Kejohanan Dunia tidak sepatutnya menghadapi masalah mara ke separuh akhir.

Diberi bye pada pusingan pembukaan, satu-satunya pemain yang mampu memberi tentangan awal kepada Chong Wei adalah pilihan ketujuh dari Korea, Park Sung Hwan, lawan yang berpotensi ditemui di suku akhir.

Pada separuh akhir, dia dijangka menentang pilihan ketiga, Chen Yu dari China atau tidak mustahil bertemu bintang baru tuan rumah, Anup Sridhar yang melakar kejutan ke atas juara Olimpik, Taufik Hidayat pada pusingan pembukaan Kejohanan Dunia.

Sekiranya berjaya melangkah ke final, jaguh China dan pilihan ketiga, Bao Chunlai pula menjadi lawan paling berpotensi untuk ditemui, selain Taufik, yang pasti mahu menebus kekalahan mengaibkan kepada Anup.

Cabaran perseorangan Malaysia pada kejohanan Grand Prix Emas yang menawarkan AS$150,000 (AS$510,000) itu turut dipikul oleh Wong Choong Hann, Muhammad Hafiz Hashim, Mohd. Roslin Hashim, Pei Wee Chung, Kuan Beng Hong, Yeoh Kay Bin dan Chan Kwong Beng.

Sementara itu, pasangan Mohd. Fairuzizuan Tazari-Mohd. Zakry Latif masih diberi kepercayaan untuk membawa cabaran negara, meski pun gagal mempamer aksi meyakinkan pada Kejohanan Dunia.

Fairuzizuan-Zakry, yang kalah kepada pasangan China, Guo Zhendong-Xie Zhongbo pada pusingan kedua minggu lalu akan memulakan kempen dengan menentang pasangan Korea, Yoo Yeon Seong-Kwon Yi Goo.

Ujian paling besar buat pasangan muda itu ialah pilihan utama, Candra Wijaya-Tony Gunawan dari Indonesia/Amerika Syarikat di suku akhir, dan jika melepasinya, naib juara dunia, Jung Jae Sung-Lee Young Dae menanti di separuh akhir.

Malaysia tidak menurunkan dua pasangan utamanya, Koo Kien Keat-Tan Boon Heong dan Choong Tan Fook-Lee Wan Wah, malah turut merehatkan Tan Bin Shen-Ong Soon Hock.

Selain Fairuzizuan-Zakry, cabaran beregu lelaki akan turut dipikul Chan Chong Ming-Hoon Thien How, Gan Teik Chai-Lin Woon Fui, Mohd. Lufti Zaim Abdul Khalid-Tan Wee Kiong, Lim Khim Wah-Mak Hee Chun dan Chew Choon Eng-Hong Chieng Hun.

SUMBERArtikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2007&dt=0822&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_06.htm#ixzz4vP3Fuk9N
© Utusan Melayu (M) Bhd

Tiada ulasan:

Catat Ulasan