Ahad, 15 Oktober 2017

Peluang terbaik Chong Wei

ARKIB : 18/09/2007
KUALA LUMPUR – Lee Chong Wei yang masih segar selepas menjuarai Terbuka Jepun berpeluang merangkul kejuaraan kedua apabila beraksi pada kejohanan badminton Terbuka Taiwan, esok.
Selepas undian terbaru, pemain nombor satu negara itu dilihat memiliki peluang cerah untuk mara ke final tanpa berdepan pencabar dari China, malah tidak diletak dalam undian sama dengan juara Olimpik, Taufik Hidayat.
Lebih memudahkan laluan juara Terbuka Indonesia dan Filipina itu adalah undian awal yang tidak memerlukannya menentang jaguh Denmark dan juara Terbuka Malaysia, Peter Gade.
Pemain nombor tiga dunia, Chen Hong adalah satu-satunya pemain China yang akan beraksi di kejohanan Grand Prix Emas bernilai AS$170,000 (RM584,800) itu, dan dia diletak sebagai pilihan pertama.
Selaku pilihan kedua, cabaran terbesar Chong Wei dijangka hadir pada suku akhir, menentang jaguh Thailand dan juara Terbuka Singapura, Boonsak Ponsana, rakan senegara, Mohd. Roslin Hashim atau Simon Santoso dari Indonesia.
Roslin akan membuat perhitungan dengan Boonsak seawal pusingan pertama, manakala Chong Wei dijangka tidak menghadapi masalah melepasi cabaran pemain muda Indonesia, Ari Yuli Wahyu Hartanto pada aksi pembukaan.
Jika berjaya ke separuh akhir, Chong Wei tidak bertemu Chen Hong, Taufik, Gade atau Muhammad Hafiz Hashim kerana semua pemain itu hanya berpotensi ditemui pada peringkat akhir.
Pencabar paling besar yang mungkin menanti adalah naib juara dunia, Sony Dwi Kuncoro dari Indonesia, pemain yang mengecewakannya pada pusingan ketiga Kejohanan Dunia, bulan lalu.
Jika bukan Sony, lawan yang berpotensi menanti pemain nombor empat dunia itu adalah perseorangan veteran, Wong Choong Hann, pemain Korea Selatan, Park Sung Hwan atau pemain Singapura, Ronald Susilo, yang memulakan aksi menentang Yeoh Kay Bin.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan