Isnin, 23 Oktober 2017

Chong Wei buka langkah kanan



 Oleh MUSTAPA LAKAWA
mustapa@kosmo.com.my
BANGGA... Chong Wei menunjukkan pingat dan hadiah yang dimenangi selaku juara perseorangan lelaki Terbuka Malaysia semalam.

LANGKAH kanan dimulakan jaguh badminton negara, Lee Chong Wei tahun ini apabila muncul juara acara perseorangan lelaki Kejohanan Badminton Terbuka Malaysia di Stadium Putra, Bukit Jalil semalam.

Chong Wei yang diletakkan selaku pilihan pertama bagaimanapun terpaksa bekerja keras sebelum menang ke atas Lee Hyun Il dari Korea Selatan, 21-15, 11-21, 21-17 pada perlawanan akhir kejohanan Super Series pertama tahun ini.

Kemenangan itu bermakna, Chong Wei kini unggul dengan rekod empat kejuaraan pada Terbuka Malaysia selepas melakukan kejayaan hatrik dari tahun 2004 hingga 2006 lalu.

Chong Wei, pemain ranking kedua dunia menyifatkan kemenangan pada Terbuka Malaysia semalam lebih dianggap sebagai suntikan semangat untuk meraih lebih banyak kejayaan tahun ini termasuk pada Sukan Olimpik di Beijing.

“Sebelum ini, saya kurang bernasib baik apabila beraksi di Stadium Putra. Tetapi hari ini (semalam), saya telah buktikan bahawa saya mampu bergelar juara di stadium ini dan di hadapan penyokong sendiri,” jelas Chong Wei yang tersingkir seawal pusingan ketiga pada Kejohanan Dunia yang berlangsung di stadium yang sama tahun lalu.

“Secara keseluruhannya, saya cukup berpuas hati dengan kemenangan saya pada Terbuka Malaysia. Saya terpaksa beraksi dalam keadaan kurang sihat sejak dari pusingan pertama sehinggalah bergelar juara.

“Jadi, saya harap dapat kekalkan rentak ini, terutamanya pada Terbuka Korea yang bermula minggu ini.”

Mengenai perlawanan akhir semalam, Chong Wei dilihat begitu konsisten untuk mengawal tekanan terutamanya pada permainan set ketiga.

“Saya kini cukup yakin dan mampu menyerap tekanan,” jelasnya yang menamatkan permainan dalam tempoh keseluruhan 62 minit.

“Apa yang pasti, kelas psikologi yang saya ikuti sebelum ini banyak membantu untuk saya menyerap tekanan terutamanya ketika beraksi di gelanggang sendiri.”

Dalam pada itu, acara perseorangan wanita menyaksikan kejutan apabila pemain Denmark, Tine Rasmussen muncul juara selepas menewaskan juara bertahan dari China, Zhu Lin 18-21, 21-19, 21-18.

Begitupun, China kembali menebus kehampaan mereka apabila mengungguli acara beregu campuran dan beregu wanita.

He Hanbin yang berpasangan bersama Yu Yang mudah menewaskan beregu Korea, Lee Yong Dae-Lee Hyo Jung 21-14, 21-15.

Manakala Yang Wei-Zhang Jiewen yang diletakkan selaku pilihan kedua mengetepikan cabaran rakan senegara, Gao Ling-Zhao Tingting 21-13, 16-21, 24-22 dalam acara akhir beregu wanita.

Acara akhir beregu lelaki pula menyaksikan juara dunia yang juga pilihan ketiga, Markis Kido-Hendra Setiawan menewaskan beregu Denmark, Lars Paaske-Jonas Rasmussen 21-10, 20-22 21-18.

SUMBER-Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2008&dt=0121&pub=Kosmo&sec=Sukan&pg=su_01.htm#ixzz4wLBP8kPF
Hakcipta terpelihara

Tiada ulasan:

Catat Ulasan