ARKIB : 17/09/2007
Lee Chong Wei (kanan)
merakamkan kejayaannya muncul juara Terbuka Jepun di samping naib juara, Taufik
Hidayat dari Indonesia selepas majlis penyampaian hadiah di Tokyo, semalam.
Chong Wei menang 22-20, 19-21, 21-19. AFP.
KUALA LUMPUR Lee Chong Wei
mempamer kebangkitan hebat sejak kegagalan di Kejohanan Dunia apabila merangkul
kejuaraan badminton Terbuka Jepun dengan membenam juara Olimpik, Taufik Hidayat
pada perlawanan akhir semalam di Tokyo, semalam.
Selepas menumbangkan juara
dunia dua kali, Lin Dan di separuh akhir kelmarin, jaguh nombor satu negara itu
berhempas pulas dalam pertarungan satu jam lima minit sebelum menundukkan
bintang Indonesia, Taufik 22-20, 19-21, 21-19.
Chong Wei, 25, merupakan pemain
Malaysia kedua berjaya memenangi gelaran perseorangan lelaki Terbuka Jepun
selepas Mohd. Roslin Hashim melakukannya buat kali pertama pada 2001.
Malah, ini juga merupakan
kejuaraan keempat buat Malaysia sejak kejohanan ini diperkenalkan pada 1984
selepas pasangan Razif Sidek-Jalani Sidek menang pada 1986, diikuti oleh Cheah
Soon Kit-Yap Kim Hock pada 1998.
Kemenangan ini juga memberikan
kejuaraan antarabangsa ketiga buat Chong Wei sepanjang 2007 selepas turut
menjuarai Terbuka Indonesia (Mei) dan Filipina (Julai).
Ia sekali gus menebus
kekecewaannya yang tersungkur seawal pusingan ketiga Kejohanan Dunia di Stadium
Putra, Bukit Jalil, bulan lalu setelah dikecewakan oleh rakan senegara Taufik,
Sony Dwi Kuncoro.
Adalah menjadi impian saya
untuk merangkul kejuaraan Olimpik, dunia, Seluruh England dan Terbuka Jepun,
jadi saya sangat gembira kerana berjaya memenangi salah satu daripadanya hari
ini.
Ini mungkin hanya satu
permulaan untuk saya memburu kejuaraan yang lebih besar selepas ini, terutama
ketika Sukan Olimpik di Beijing menanti tahun depan, kata Chong Wei.
Dalam perlawanan semalam,
pemain nombor empat dunia itu menguasai gelanggang dengan baik dan sering
mengutip mata menerusi smash kencang untuk mengatasi permainan drop yang
menjadi senjata Taufik.
Chong Wei, 25, juga memaksa
Taufik menyelamatkan lima mata perlawanan di set penentuan sebelum mengesahkan
kejuaraan selepas mengharungi 65 minit perlawanan.
Pada set pembukaan, Chong Wei
dipaksa menyelamatkan mata set selepas ketinggalan 19-20, sebelum bangkit
dengan kemenangan 22-20.
Taufik pula bermain lebih baik
pada set kedua dengan bangkit daripada ketinggalan enam mata untuk mengutip lapan
mata berturut-turut, dan mendahului 17-15 sebelum menamatkan saingan dengan
21-19.
Chong Wei, pemenang pingat emas
Sukan Komanwel lebih banyak mendominasi saingan akhir dengan mendahului 15-8
pada set ketiga sebelum melakukan smash untuk menamatkan saingan.
Kemenangan ini membolehkan
bekas pemain nombor satu dunia itu membawa pulang hadiah lumayan AS$16,000
(RM54,400), sementara Taufik meraih AS$6,400 (RM21,760).
Dia (Taufik) adalah pemain
hebat yang telah memenangi kejuaraan Olimpik dan dunia. Hari ini saya turun
sebagai pencabar terkuat, dan saya hanya mengikut rentak permainan sendiri.
Apabila dia berjaya mengejar
di akhir set ketiga pada kedudukan 20-19, saya cuba menenangkan diri dan
menanti dia melakukan kesilapan, kata Chong Wei, yang memperbaiki rekod
pertemuannya dengan Taufik kepada 3-4.
Sementara itu, pemain Denmark,
Tine Rasmussen melakar kejutan terbesar pada pusingan kelapan kejohanan Siri
Super itu apabila menumpaskan bekas juara dunia dua kali, Xie Xingfang dari
China 21-17, 21-15 untuk muncul juara perseorangan wanita.
Saya tidak langsung memikirkan
tentang menang atau kalah ketika memasuki gelanggang kerana sedar saya bakal
berdepan lawan yang hebat.
Jika kalah sekali pun saya
tetap gembira kerana telah melayakkan diri ke akhir, kata Rasmussen, yang
mengejutkan juara Eropah, Xu Huaiwen (Jerman), juara Asia, Jiang Yanjiao
(China), pemain nombor satu dunia, Zhang Ning (China) dan Lu Lan (China) dalam laluan
ke final.
Rasmussen membawa pulang hadiah
kemenangan AS$13,800 (RM46,920) dan pemain nombor dua dunia, Xingfang meraih
AS$5,520 (RM18,768).
Pasangan berpengalaman
Indonesia/Amerika Syarikat, Candra Wijaya-Tony Gunawan mempertahankan kejuaraan
beregu lelaki selepas menundukkan pasangan Indonesia, Luluk Hadiyanto-Alvent
Yulianto 21-18, 21-17.
Kejuaraan beregu wanita pula
milik Yang Wei-Zhang Jiewen dari China yang menang 21-17, 21-5 ke atas rakan
senegara, Zhao Tingting-Yu Wang.
Pasangan nombor satu dunia,
Zheng Bo-Gao Ling dari China pula menundukkan juara baru dunia, Nova
Widianto-Lilyana Natsir dari Indonesia 21-19, 21-14 untuk muncul juara beregu
campuran.
SUMBERArtikel Penuh:
http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2007&dt=0917&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_01.htm#ixzz4vdX8z7Gv
© Utusan Melayu (M) Bhd
Tiada ulasan:
Catat Ulasan