Rabu, 18 Oktober 2017

Chong Wei gah ke final



 
ARKIB : 02/12/2007
LEE CHONG WEI.

KUALA LUMPUR – Jaguh perseorangan negara, Lee Chong Wei (gambar) melangkah ke perlawanan akhir Siri Super ketiga berturut-turut selepas menewaskan Kenneth Jonassen pada separuh akhir badminton Terbuka Hong Kong, semalam.

Pemain nombor dua dunia itu, yang turut melayakkan diri ke final Terbuka Perancis dan China menempah pertemuan dengan pemain nombor satu dunia, Lin Dan buat kali keempat tahun ini.

Semalam, Chong Wei mempamerkan permainan mantap dan hanya memerlukan masa 37 minit untuk menumpaskan jaguh veteran Denmark, Jonassen 21-13, 21-17.

Juara dunia, Lin Dan pula mengharungi perlawanan separuh akhir yang lebih mudah, menang 21-16 pada set pertama sebelum rakan senegaranya, Chen Jin menarik diri di set kedua ketika ketinggalan 6-10.

Bagi Lin Dan dan Chong Wei, ini merupakan pertemuan keempat mereka pada tahun ini, dan dua daripadanya berpihak kepada perseorangan Malaysia itu.

Begitu pun, dalam 10 pertemuan keseluruhan mereka sejak tahun 2005, Lin Dan menang tujuh daripadanya.

Sumber-Artikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2007&dt=1202&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_02.htm#ixzz4vu3qawmk
© Utusan Melayu (M) Bhd

Tiada ulasan:

Catat Ulasan