Jumaat, 13 Oktober 2017

Mew Choo buat kejutan -- Chong Wei, Hafiz terkandas



RKIB : 17/08/2007
Oleh NORZIE MOHD. KHASBI

Choong Tan Fook dan Lee Wan Wah ketika menewaskan pasangan Denmark, Simon Mollyhus dan Anders Kristiansen untuk layak ke suku akhir Kejohanan Dunia, di Stadium Putra, Bukit Jalil, semalam.

KUALA LUMPUR – Wong Mew Choo melakar kejutan terbesar pada Kejohanan Dunia semalam apabila menumbangkan calon utama kejuaraan dan penyandang juara, Xie Xingfang untuk melangkah ke suku akhir, hanya beberapa minit selepas pemain nomxbor satu negara, Lee Chong Wei kalah mengejut pada pusingan ketiga perseorangan lelaki di gelanggang yang sama.

Cabaran Malaysia dalam acara perseorangan lelaki juga ditutup sepenuhnya dengan kekalahan juara Seluruh England 2003, Muhammad Hafiz Hashim kepada ‘bintang segera’ India, Anup Sridhar 19-21, 21-18, 15-21.

Selain kemaraan mengejut Mew Choo, Malaysia juga mempunyai tiga lagi wakil dalam peringkat suku akhir hari ini - dua daripada acara beregu lelaki menerusi pasangan emas, Koo Kien Keat-Tan Boon Heong dan Choong Tan Fook-Lee Wan Wah, manakala satu lagi dalam beregu wanita - Wong Pei Tty-Chin Eei Hui.

Turun tanpa harapan, malah mengakui tidak memasang strategi, Mew Choo bagaimanapun berjaya mengejutkan pemain nombor dua dunia, Xingfang 21-10, 21-8 hanya dalam masa 28 minit, kemenangan pertamanya dalam empat pertemuan dengan bintang China itu.

Mew Choo, yang kalah dalam semua tiga perlawanan terakhirnya dengan Xingfang - di Terbuka Indonesia 2007, Terbuka Hong Kong 2006 dan Terbuka Thailand 2006 kini bakal berdepan satu lagi cabaran sukar pemain China, Zhu Lin, pemain yang juga tidak pernah dikalahkan dalam dua pertemuan mereka.

“Ia umpama mimpi tetapi saya belum berani untuk bercakap tentang kejuaraan.

“Saya bermain baik hari ini, tetapi Xingfang tidak bermain seperti biasa. Mungkin dia tertekan lalu menyerahkan perlawanan dengan lebih mudah daripada sepatutnya. Bertemu Zhu Lan esok pasti tidak semudah ini,,” kata Mew Choo.

Sementara itu, kekalahan Xingfang, yang merupakan “ayam tambatan” China untuk merangkul kejuaraan perseorangan wanita memberi tamparan kepada ketua jurulatih negara itu, Li Yongbo.

Menurut Yongbo, beliau tidak menjangkakan Mew Choo mampu menundukkan Xingfang dan tidak pernah terfikir pemainnya akan terganggu dengan persekitaran stadium, yang dipenuhi penyokong tuan rumah.

“Saya tidak menyangka Mew Choo boleh kalahkan Xingfang, penonton membuatkan dia berasa gemuruh. Sebelum perlawanan memang ada tekanan di wajahnya,” kata Yongbo, yang kini meletakkan harapan kepada pemain nombor satu dunia, Zhang Ning, Zhu Lin dan Lu Lan.

Sementara itu, Chong Wei mengecewakan hampir 10,000 penonton di Stadium Putra, Bukit Jalil dengan aksi tidak bermaya ketika tunduk 11-21, 9-21 kepada jaguh perseorangan Indonesia, Sony Dwi Kuncoro hanya dalam masa 36 minit.

Kekalahan juara Terbuka Indonesia itu disusuli oleh kekalahan Hafiz kepada Anup, bintang muda India yang mengejutkan juara Olimpik, Taufik Hidayat di pusingan kedua kelmarin, sekali gus menamatkan kempen perseorangan lelaki negara.

Juara Seluruh England dan beregu nombor dua dunia, Kien Keat-Boon Heong bagaimanapun tidak membenarkan kejutan buruk terus menimpa skuad negara apabila mempamerkan aksi meyakinkan ketika membenamberegu Poland, Michal Logosz-Robert Mateusiak 21-17, 21-19.

Juara Terbuka Malaysia, Terbuka Switzerland dan Terbuka Filipina itu akan menentang pasangan Jepun, Shuichi Sakamoto-Shintaro Ikeda, yang mengejutkan beregu Indonesia, Luluk Hadiyanto-Alvent Yulianto 21-19, 22-24, 21-15.

SUMBERArtikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2007&dt=0817&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_01.htm#ixzz4vOQRjUZH
© Utusan Melayu (M) Bhd

Tiada ulasan:

Catat Ulasan