Isnin, 16 Oktober 2017

Chong Wei ketuai kemaraan -- Badminton Terbuka Denmark



ARKIB : 26/10/2007

KUALA LUMPUR – Jaguh nombor satu negara, Lee Chong Wei meneruskan usaha memburu kejuaraan Siri Super ketiganya apabila mara ke suku akhir kejohanan badminton Terbuka Denmark di Odense, semalam.

Turut meneruskan cabaran ke peringkat lapan terbaik adalah pasangan wanita utama Malaysia, Wong Pei Tty-Chin Eei Hui.

Manakala, beregu nombor satu dunia dan juara Seluruh England, Koo Kien Keat-Tan Boong Heong melepasi pusingan pertama dengan kemenangan 21-14, 21-15 ke atas beregu Singapura, Hendri Kurniawan Saputra-Hendra Wijaya.

Juara Terbuka Indonesia dan Jepun, Chong Wei mengharungi dua perlawanan pertama yang agak mudah setakat ini dengan kedua-dua kemenangan dicatat dalam tempoh tidak melebihi 30 minit.

Pada pusingan kedua semalam, pemain nombor dua dunia itu hanya memerlukan 30 minit untuk menundukkan pemain utama Poland, Przemyslaw Wacha 21-12, 21-13.

Chong Wei, pilihan kedua terdahulu hanya mengambil masa 29 minit untuk menundukkan pemain muda Denmark, Peter Mikkelsen 21-15, 21-13 di pusingan pertama kelmarin.

Sementara itu Pei Tty-Eei Hui, yang masih segar dengan kejayaannya mengejutkan beregu nombor satu dunia, Zhang Yawen-Wei Yili pada pusingan pertama meneruskan kecemerlangan.

Pasangan nombor 10 dunia itu bagaimanapun dipaksa berhempas pulas untuk mengetepikan beregu India, Shruti Kurian-Jwala Gutta 22-20, 21-19.

Juara Sukan SEA 2005 itu bakal berdepan satu lagi kesukaran apabila dijadual menentang pilihan kelima dari China, Zhao Tingting-Yu Yang hari ini.

Chong Wei, 25, juga tidak terlepas daripada berdepan lawan yang mencabar apabila bertemu naib juara dunia, Sony Dwi Kuncoro dari Indonesia.

Sementara itu, cabaran seorang lagi perseorangan Malaysia, Yeoh Kay Bin berakhir awal apabila tumpas 17-21, 12-21 kepada bekas juara Eropah, Kenneth Jonassen dari Denmark

SUMBERArtikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2007&dt=1026&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_04.htm#ixzz4vjy4QcnX
© Utusan Melayu (M) Bhd

Tiada ulasan:

Catat Ulasan