Ahad, 15 Oktober 2017

Chong Wei, Lin Dan berentap di separuh akhir - Kejohanan Badminton Terbuka Jepun



 
ARKIB : 15/09/2007
LEE Chong Wei akan menentang Lin Dan (kiri) pada separuh akhir badminton Terbuka Jepun hari ini. – Agensi.

TOKYO - Lee Chong Wei meneruskan aksi cemerlang apabila melangkah mudah ke separuh akhir pada Kejohanan Badminton Terbuka Jepun, semalam.

Laluan mudah merintis jaguh perseorangan utama negara itu di suku akhir apabila mudah mengetepikan cabaran pilihan kelima dari China, Chen Jin menerusi kemenangan 21-7, 21-16.

Begitupun perjalanan penuh berliku menanti Chong Wei pada separuh akhir hari ini apabila pemenang pingat emas sukan Komanwel itu dijadualkan berdepan pemain nombor satu dunia, Lin Dan.

Lin Dan, juara dua kali kejohanan ini dan setakat ini tidak pernah tewas sejak Julai lalu melangkah ke separuh akhir selepas menewaskan pemain pilihan keenam dari Denmark, Peter Gade 21-16, 21-19.

Juara China Masters dan kejuaraan dunia itu dijangka tidak berdepan laluan sukar untuk menewaskan Chong Wei bagi merealitikan pertemuan akhir pemain dari China itu berdepan pemenang pingat emas Sukan Olimpik Athens, Taufik Hidayat.

Taufik turut melangkah ke separuh akhir selepas menewaskan pemain Korea Selatan, Park Sung-Hwan 21-17, 21-18.

‘‘Saya rasa Taufik adalah pemain terbaik dunia. Dia telah memenangi pingat emas Sukan Olimpik dan kejuaraan dunia.

‘‘Saya akan sentiasa bermain untuk mencabar dia dan saya akan menjadi pemain yang sukar buat pemain lain untuk mencabar saya,’’ ujar Lin Dan.

Taufik akan menentang rakan senegara, Simon Santoso dan dijangka tidak menghadapi masalah mara ke perlawanan akhir bertemu Lin Dan.

Dalam perseorang wanita berlaku kejutan apabila pemain nombor satu dunia dan juara dua kali kejohanan ini, Zhang Ning tersingkir apabila tewas kepada Tine Rasmussen dari Denmark di suku akhir.

Ning tewas 21-13, 16-21, 21-18 kepada Rasmussen.

SUMBER-Artikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2007&dt=0915&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_01.htm#ixzz4vdSD5PH5
© Utusan Melayu (M) Bhd

Tiada ulasan:

Catat Ulasan