Isnin, 5 Jun 2017

Chong Wei terkandas



ARKIB : 06/11/2005

HONG KONG - Hajat Lee Chong Wei untuk merangkul kejuaraan kedua dalam tempoh dua minggu tidak kesampaian apabila tersingkir pada separuh akhir kejohanan badminton Terbuka Hong Kong, di Stadium Queen Elizabeth di sini, semalam.

Chong Wei, yang masih segar dengan kejayaan menjuarai Terbuka Denmark pada 23 Oktober lalu, tewas mudah 4-15, 6-15 kepada pemain nombor satu dunia, Lin Dan dari China.

Walaupun turun sebagai pemain nombor tiga dunia, Chong Wei gagal memberikan tentangan sengit kepada jaguh China itu dan menyerah kalah dalam masa kurang 40 minit.

Kekalahan Chong Wei itu juga sekaligus menamatkan cabaran Malaysia pada kejohanan enam bintang bernilai AS$250,000 (RM942,500) itu selepas semua wakilnya yang lain kandas lebih awal.

``Dia (Lin Dan) amat pantas di atas gelanggang dan saya tidak dapat memberikan permainan terbaik hari ini.

``Saya agak keletihan sejak memenangi Terbuka Denmark. Begitupun, ia bukan alasan. Lin Dan lebih baik daripada saya,'' kata Chong Wei, yang mengalahkan pemain China itu dalam aksi akhir Terbuka Malaysia, Julai lalu.

Chong Wei kini hanya memiliki Terbuka China (8-13 November) dan Terbuka Taiwan (15-20 November), di mana dia merupakan juara bertahan sebagai persiapan terakhir sebelum memburu pingat emas pada Sukan SEA Manila yang bermula 29 November ini.

Lin Dan, 22, pula akan menentang rakan senegara, Bao Chunlai yang menewaskan naib juara Olimpik, Shon Seung Mo dari Korea 15-4, 15-6.

Bagi Lin Dan, kemenangan ke atas Chong Wei lebih mudah daripada yang dijangkakan kerana dia bermain dalam keadaan letih selepas dipaksa berhempas pulas ketika menewaskan jaguh Denmark, Peter Gade-Christensen 17-16, 13-15, 15-12 di suku akhir kelmarin.

``Saya penat selepas perlawanan suku akhir menentang Peter Gade. Saya memerlukan rehat yang lebih panjang untuk pulih dan perlawanan dengan Chong Wei tidak mudah,'' katanya.

``Pertemuan dengan Gade benar-benar menyiapkan mentaliti saya untuk menghadapi perlawanan ini. Saya bermain dengan amat baik,'' kata juara Terbuka Hong Kong 2003 itu lagi.

Chong Wei, 23, yang menyingkirkan Wong Choong Hann di suku akhir kelmarin ketinggalan 2-7, 2-10 dan 2-12 di set pembukaan sebelum tunduk 4-15 dalam masa 15 minit.

Pemain nombor satu negara itu melakukan banyak kesilapan mudah di set kedua, malah ketinggalan 0-4 sebelum kalah 6-15.

Sementara itu, juara Seluruh England dan pasangan utama China, Fu Haifeng-Cai Yun meraih tiket ke perlawanan akhir beregu lelaki selepas mengalahkan Anthony Clark-Robert Blair dari England 15-4, 15-1.

China mengesahkan gelaran perseorangan wanita dengan juara Olimpik, Zhang Ning akan bertemu juara dunia, Xi Xinfang dalam perlawanan akhir.

Pemenang gangsa Sukan Olimpik 2004, Nathan Robertson-Gail Emms dari England menyekat dominasi China dalam acara beregu campuran apabila menewaskan Zhang Jun-Gao Ling 15-11, 15-2.

sumberArtikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2005&dt=1106&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_01.htm#ixzz4jBOFhmt7
© Utusan Melayu (M) Bhd

Tiada ulasan:

Catat Ulasan