Isnin, 5 Jun 2017

Chong Wei ke separuh akhir



 
ARKIB : 05/11/2005
Lee Chong Wei.

HONG KONG - Lee Chong Wei meraikan kejayaannya menduduki ranking ketiga dunia buat kali pertama dengan melangkah ke separuh akhir badminton Terbuka Hong Kong semalam, selepas menyingkirkan rakan senegara, Wong Choong Hann.

Chong Wei, 23, yang memperoleh ranking tertinggi dalam kariernya apabila memperbaiki satu anak tangga daripada kedudukan keempat ke tempat ketiga kelmarin, tidak menghadapi masalah untuk menundukkan Choong Hann 15-4, 15-1 di suku akhir.

Kemenangan tersebut bakal menemukan juara Terbuka Denmark dan Malaysia itu dengan pemain nombor satu dunia, Lin Dan dari China pada separuh akhir hari ini.

Malah, kemenangan itu juga merupakan suntikan moral terbaik buat Chong Wei yang meletakkan sasaran untuk memburu pingat emas pada Sukan SEA XXIII di Manila, hujung bulan ini.

Lin Dan, 23, juara China Masters, Terbuka Jepun dan Jerman dipaksa berhempas pulas untuk mengetepikan jaguh Denmark, Peter Gade-Christensen 17-16, 13-15, 15-12 dalam satu lagi perlawanan suku akhir di stadium Queen Elizabeth.

Seimbang

Rekod pertemuan Chong Wei-Lin Dan adalah seimbang dengan kedudukan 1-1. Bagaimanapun, Chong Wei menang perlawanan terakhir kedua-dua pemain 17-15, 9-15, 15-9 pada final Terbuka Malaysia, Julai lalu.

Bagi Choong Hann, 28, biarpun tewas mudah semalam, namun dia telah melakar kejutan besar dalam kejohanan enam bintang bernilai AS$250,000 (RM942, 500) itu apabila menumbangkan juara olimpik dan dunia, Taufik Hidayat dari 7-15, 15-9, 15-12 di pusingan ketiga, kelmarin.

Sementara itu cabaran Malaysia dalam beregu lelaki berakhir dengan kekalahan 3-15, 6-15 pasangan mudanya, Mohd. Zakry Latif-Gan Teik Chai kepada beregu utama China, Fu Haifeng-Cai Yun.

Malaysia turut gagal meneruskan kemaraan dalam beregu campuran selepas gandingan Koo Kien Keat-Ooi Sock Ai tewas dalam pertarungan tiga set kepada beregu China, Xie Zhongbo-Zhang Yawen 16-17, 15-9, 15-7.

Kongsi Konten di :

sumberArtikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2005&dt=1105&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_01.htm#ixzz4jBLOvKqI
© Utusan Melayu (M) Bhd

Tiada ulasan:

Catat Ulasan