ARKIB : 12/08/2005
KUALA LUMPUR - Biar pun masih
lemah kerana diserang sakit perut dan cirit birit, Lee Chong Wei tetap dianggap
pertaruhan terbaik negara untuk menggegar pada Kejohanan Badminton Dunia di
Anaheim, California, Amerika Syarikat (AS) yang bermula 15 Ogos ini.
Itu pilihan yang dibuat
Presiden Persatuan Badminton Malaysia (BAM), Datuk Nadzmi Salleh dan jurulatih
perseorangan negara, Misbun Sidek.
Kedua-duanya memberi alasan,
Chong Wei, 22, yang masih segar dengan kejayaan menjuarai Terbuka Malaysia kini
berada pada prestasi terbaik untuk mencipta kejayaan besar di kejohanan itu.
Sambil dibantu undian mudah,
Nadzmi menganggap keazaman kuat yang ditunjukkan Chong Wei turut membuatkannya
memilih pemain itu untuk menyinar kali ini.
``Saya anggap cabaran acara
perseorangan yang diwakili Chong Wei, Hafiz (Hashim), dan (Wong) Choong Hann
adalah yang paling kuat berbanding acara lain.
``Jadi saya memilih Chong Wei
sebagai pertaruhan terbaik untuk menyinar kerana keazaman kuat yang ada dalam
dirinya,'' tegas Nadzmi.
Bagi Misbun pula, Chong Wei
perlu berfikir dan bermain pada tahap tinggi jika mahu jadi pemain perseorangan
pertama negara muncul juara dunia.
``Dia bakal menjadi tumpuan
untuk dikalahkan pada kali ini. Tetapi berdasarkan undian mudah, Chong Wei
tidak ada masalah untuk layak ke suku akhir.
``Jika berjaya, Chong Wei
dijangka bertemu Choong Hann di mana satu tempat ke separuh akhir sudah pasti
dalam tangan pemain negara,'' katanya.
Skuad negara yang terdiri
daripada 11 pemain lelaki dan 10 wanita bersama-sama dengan lima jurulatih dan
tukang urut berlepas pagi semalam, sehari lebih awal daripada jadual asal untuk
menyesuaikan diri dengan keadaan di California.
Menurut Misbun, pemergian awal
ini penting bagi mengatasi masalah pemeriksaan ketat kemasukan ke Amerika
Syarikat di samping gelanggang latihan yang terhad di sana.
``Badminton bukan sukan popular
di sana. Jadi tempat latihan pun terhad dan tidak boleh berlatih lama,''
tegasnya.
Sementara itu, Choong Hann yang
hampir muncul juara perseorangan lelaki pada Kejohanan Dunia 2003 di Birmingham
sebelum tunduk kepada pemain China, Xie Xuanze pada perlawanan akhir,
bagaimanapun berdepan undian sukar bersama Hafiz.
Kejohanan Dunia pada 15-21 Ogos
ini diadakan di AS buat pertama kali sebagai usaha Persekutuan Badminton
Antarabangsa untuk mempromosikan sukan itu ke seluruh dunia.
Malaysia menghantar pemain
paling ramai berbanding negara lain dengan semua pemain layak secara merit.
SUMBERArtikel Penuh:
http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2005&dt=0812&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_04.htm#ixzz4iqhHabo6
© Utusan Melayu (M) Bhd
Tiada ulasan:
Catat Ulasan