Rabu, 28 Jun 2017

Chong Wei teruskan cabaran Malaysia



ARKIB : 22/07/2006

MACAU – Pemain nombor satu dunia, Lee Chong Wei menjadi wakil tunggal Malaysia meneruskan cabaran ke separuh akhir Kejohanan Badminton Terbuka Macau selepas menewaskan Bao Chunlai dari China di suku akhir, semalam.

Bagaimanapun cabaran dua lagi perseorangan negara, Muhd. Hafiz Hashim dan Sairul Amar Ayob, dua beregu lelaki, Choong Tan Fook-Lee Wan Wah dan Hoon Thien How-Tan Boon Heong serta beregu wanita, Wong Pei Tty-Chin Eei Hui berakhir di suku akhir - kesemuanya di tangan pemain China.

Chong Wei, 23, yang memburu gelaran antarabangsa ketiga tahun ini selepas muncul juara Terbuka Switzerland, kejuaraan Asia serta Terbuka Malaysia menumpaskan Chunlai 21-14, 21-10.

Menantinya pada separuh akhir hari ini adalah bekas pemain nombor satu dunia dan rakan senegara Chunlai, Cheng Hong, yang terdahulu mengecewakan Sairol 21-15, 18-21, 21-19.

Hafiz pula memberi tentangan sengit kepada bekas pemain nombor satu dunia, Lin Dan termasuk memenangi set pertama sebelum terpaksa akur 21-19, 18-21, 15-21.

Sementara itu, beregu veteran negara, Tan Fook-Wan Wah, yang diletak sebagai pilihan kedua mengalami kekalahan mengejut kepada gandingan Guo Zhengdong-Zheng Bo dari China 21-23, 16-21, 13-21.

Pujian bagaimanapun harus diberikan kepada pasangan remaja negara, Thien How-Boon Heong, yang masih mampu memberi cabaran sengit kepada pilihan pertama, Cai Yun-Fu Haifeng sebelum tewas 13-21, 23-21, 14-21.

Pei Tty-Eei Hui pula menamatkan cabaran Malaysia dalam acara wanita selepas kalah mudah 11-21, 7-21 kepada pasangan China, Zhang Yawen-Wei Yili.

“Chongwei mempamer keyakinan yang tinggi pada pertemuan dengan Chunlai selepas agak berhati-hati pada pusingan kedua, kalau dia mampu mengulangi permainan itu esok (hari ini) dia mempunyai peluang cerah untuk menewaskan Cheng Hong,’’ kata jurulatih perseorangan negara, Misbun Sidek.

Sementara itu, pemain Belanda, Judith Meulendijks melakar kejutan terbesar pada kejohanan empat bintang yang menawarkan AS$120,000 itu selepas menumpaskan pemain nombor satu dunia, Zhang Ning 21-16, 16-21, 21-16 di suku akhir perseorangan wanita.

Dominasi China dalam acara perseorangan wanita berakhir dengan kekalahan dua lagi wakil mereka, Zu Lin dan Lu Lan. Zhu Lin tewas 13-21, 21-15, 21-23 kepada Yao Jie dari Belanda, manakala Lu Lan tumpas 17-21, 11-21 kepada Wang Cheng dari Hong Kong.

Rakan senegara Wang Cheng, Yip Pui Yin melengkapkan tiket keempat separuh akhir selepas mengalahkan pemain Singapura, Li Li 21-13, 15-21, 21-18.

KEPUTUSAN (suku akhir)

LELAKI perseorangan: LEE CHONG WEI kln Bao Chunlai (Chn) 21-14, 21-10; Chen Hong kln SAIROL AMAR AYOB 21-15, 18-21, 21-19; Lin Dan (Chn) kln MUHAMMAD HAFIZ HASHIM 19-21, 21-18, 21-15.

Cai Yun-Fu Haifeng (Chn) kln HOON THIEN HOW-TAN BOON HEONG 21-13, 21-23, 21-14; Guo Zhengdong-Zheng Bo (Chn) kln CHOONG TAN FOOK-LEE WAN WAH 21-23, 21-16, 13-21.

BEREGU wanita: Zhang Yawen-Wei Yili (Chn) kln WONG PEI TTY-CHIN EEI HUI 21-11, 21-7.

sumberArtikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2006&dt=0722&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_02.htm#ixzz4lLYaolw6
© Utusan Melayu (M) Bhd

Tiada ulasan:

Catat Ulasan