Khamis, 1 Jun 2017

Chong Wei kurang gembira



ARKIB : 07/08/2005
KUALA LUMPUR - Pemain nombor satu negara, Lee Chong Wei tidak mahu terlalu gembira menerima undian yang dianggap mudah pada Kejohanan Badminton Dunia, 15-21 Ogos ini kerana menegaskan setiap perlawanan harus ditangani dengan serius.

Chong Wei, 22, dilihat berpeluang cerah untuk layak sekurang-kurangnya ke separuh akhir andai cabaran terbesarnya dalam empat perlawanan pertama iaitu menentang rakan senegara, Wong Choong Hann atau jaguh muda China, Bao Chunlai di suku akhir berjaya dilepasi.

Bagaimanapun Chong Wei menegaskan, dengan mengandaikan setiap perlawanan adalah mudah tidak ubah seperti `memakan diri sendiri' dan dia harus berhati-hati biarpun berdepan lawan tidak ternama.

``Kadangkala menentang pemain tidak ternama lebih bahaya daripada pemain handalan. Memandangkan mereka ini hanya mahu kemenangan, jadi mereka boleh menjadi begitu agresif,'' kata Chong Wei.

``Bagaimanapun saya tetap lega kerana menerima undian seperti yang diharapkan. Memang saya mahu ke separuh akhir dan itu adalah sasaran utama saya di Amerika Syarikat tetapi Choong Hann dan Bao Chunlai bukan pemain yang mudah untuk ditundukkan andai kami bertemu di suku akhir.''

Menurut Chong Wei lagi, faktor beraksi pada Kejohanan Dunia buat kali pertama tidak langsung menggusarkan, sebaliknya dia menganggap kejohanan ini seperti kejohanan utama lain, termasuk Terbuka Malaysia, yang baru dijuarainya, bulan lalu.

Pemain pilihan kelima itu akan memulakan kempen dengan berdepan Jan Frohlich dari Republik Czech, sebelum bertemu pemenang di antara Martyn Lewis dan Wales dan Chris Dednam dari Afrika Selatan di pusingan kedua.

Jika berjaya menetapi ramalan awal mara ke pusingan ketiga, juara Terbuka Malaysia 2004 dan 2003 itu dijangka bertemu pilihan ke-16, Bjoern Joppien dari Jerman.

Sementara itu naib juara dunia 2003, Choong Hann masih berharap untuk mengulangi sejarah yang dilakarnya di Birmingham dua tahun lalu biarpun mengakui tidak mudah untuk menjinakkan Chunlai andai mereka bertemu di pusingan ketiga.

SUMBERArtikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2005&dt=0807&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_03.htm#ixzz4ingnvzNq
© Utusan Melayu (M) Bhd

Tiada ulasan:

Catat Ulasan