Sabtu, 10 Jun 2017

Seluruh England: Hafiz tersingkir, Chong Wei mara



ARKIB : 19/01/2006

KUALA LUMPUR - Juara 2003, Muhd. Hafiz Hashim tersingkir seawal pusingan pertama Kejohanan Badminton Seluruh England semalam selepas tewas kepada pemain muda China, Chin Jin, sekali gus menyempitkan peluang untuk mempertahankan gelaran Sukan Komanwel, Mac ini.

Ketika Hafiz kecundang dalam aksi pembukaannya, Lee Tsuen Seng mencuri tumpuan di National Indoor Arena, Birmingham apabila mengejutkan juara Asia, Sony Dwi Kuncoro dari Indonesia.

Jaguh nombor satu negara, Lee Chong Wei pula menepati ramalan awal apabila mengetuai kemaraan enam lagi perseorangan lelaki negara ke pusingan kedua.

Cabaran Malaysia turut diteruskan pemain veteran, Wong Choong Hann, naib juara Asia, Kuan Beng Hong, Yeoh Kay Bin, Sairol Amar Ayob dan Pei Wei Chung.

Hafiz, pilihan kelapan, yang perlu meraih keputusan terbaik di Seluruh England seandai mahu meraih tiket Sukan Komanwel Melbourne, 15-26 Mac ini bagaimanapun gagal menyekat juara remaja dunia, Chen Jin.

Selepas menjuarai Terbuka Jerman minggu lalu dengan mengalahkan pemain nombor satu dunia, Lin Dan dan penyandang juara Seluruh England, Chen Hong, pemain China berusia 20 tahun itu terus garang apabila menang 17-14, 15-5 dalam masa 54 minit.

Dengan kekalahan ini, hasrat Hafiz untuk mempertahankan pingat emas yang dimenanginya di temasya Manchester 2002 semakin pudar.

Dalam pada itu, Tsuen Seng, yang hampir disingkirkan daripada pasukan kebangsaan berikutan prestasi hambar sejak dua tahun lalu, kembali mencuri tumpuan dengan menundukkan Sony 15-5, 15-8.

Tsuen Seng, 27, yang kini menduduki ranking ke-41 dunia akan bertemu pilihan ke-9/16 dari Jepun, Shoji Sato, yang mudah menewaskan Arif Rasidi dari Perancis 15-2, 15-3.

Juara Terbuka Switzerland dan pilihan ketiga, Chong Wei pula bertemu pemain utama Jerman, Bjoern Joppien di pusingan kedua selepas mudah mengalahkan Geoff Bellingham dari New Zealand 15-3, 15-2.

Choong Hann yang menumpaskan Arvind Bhat dari India 15-9, 15-9 akan menentang pemain tuan rumah, Aamir Ghaffa, Sairol, pilihan ke-9/16 pula mengetepikan Jean-Michel Lefort dari Perancis 15-5, 15-11 untuk bertemu Vindre Wibowo dari Sweden.

Kay Bin menewaskan Bladislav Druzchenko dari Ukraine 15-7, 15-7 dan bertemu Shon Seung Mo dari Korea di pusingan kedua, Wei Chung yang menundukkan Martyn Lewis dari Wales 15-6, 15-7 bakal berdepan bekas pemain nombor satu dunia, Peter-Gade Christensen.

Sementara itu, Beng Hong menempah pertemuan dengan Andrew Smith dari England selepas menumpaskan Bobby Milroy dari Kanada 15-10, 15-8.

SUMBERArtikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2006&dt=0119&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_01.htm#ixzz4jbmmKc18
© Utusan Melayu (M) Bhd

Tiada ulasan:

Catat Ulasan