Jumaat, 23 Jun 2017

Chong Wei mara, juara Sukan Komanwel tersingkir



ARKIB : 01/04/2006

JOHOR BAHRU - Hoon Thien How-Tan Boon Heong mencipta kejutan apabila menumpaskan beregu utama Indonesia, Chandra Wijaya-Sigit Budiarto 21-17, 21-19 untuk mara ke separuh akhir Kejohanan Badminton Asia (ABC) di Stadium Johor Bahru, semalam.

Juara Sukan Komanwel, Chin Eei Hui-Wong Pei Tty turut menerima kejutan apabila tewas kepada pasangan senegara Lim Pek Siah-Joanne Quay 21-18, 20-21, 15-21 dalam acara beregu wanita.

Kejayaan Pek Siah-Joanne melepasi peringkat suku akhir diiringi oleh pasangan veteran, Choong Tan Fook-Lee Wan Wah serta harapan tunggal negara dalam acara perseorangan, Lee Chong Wei.

Chong Wei menepati ramalan apabila menumpaskan pemain kedua Thailand, Poompat Sapkulchananart 21-13, 21-16.

Tan Fook-Wan Wah pula terpaksa berhempas pulas dalam tiga set sebelum menumbangkan pasangan Indonesia, Markis Kido-Hendra Setiawan 21-10, 14-21, 21-18.

Pek Siah-Joanne akan menentang Chien Yu Chin-Cheng Wen Hsing dari China yang menumbangkan rakan senegara Zhao Yunlei-Cheng Shu 17-21, 21-11, 21-18.

Sementara itu, jaguh muda Indonesia, Sony Dwi Kunchoro gagal mempertahankan gelaran apabila tewas kepada pemain nombor 24 dunia, Park Sung Hwan dari Korea Selatan 21-16, 19-21, 18-21.

Sung Hwan akan menentang Chong Wei yang memiliki rekod menang tiga pertemuan mereka sebelum ini.

Chong Wei yang merupakan pemenang pingat emas Sukan Komanwel ketika ditemui berkata, dia masih lagi mampu bertahan untuk menentang Sung Hwan pada perlawanan separuh akhir hari ini.

Katanya, dia tidak meletakkan harapan tinggi untuk menjuarai kejohanan itu tetapi akan memberikan persembahan terbaik bagi menentang pemain Korea itu.

``Kalah menang adat bertanding tetapi saya akan sedaya upaya mempamerkan aksi terbaik pada perlawanan esok (hari ini),'' katanya.

Sementara itu jurulatih Park Sung Hwan, Kim Hak Yun tidak meletakkan harapan tinggi terhadap pemain perseorangannya.

Namun katanya, Sung Hwan masih lagi mempunyai tenaga walaupun menggunakan segala kemahiran dan tenaga untuk menumbangkan Sony.

Misi beregu campuran tunggal negara, Gan Teik Chai-Fong Chew Yen untuk melayakkan diri ke separuh akhir gagal selepas ditewaskan oleh pasangan Indonesia Nova Widianto-Liliyana Natsir 21-14, 21-13.

SUMBER-Artikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2006&dt=0401&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_03.htm#ixzz4kq2KhErg
© Utusan Melayu (M) Bhd

Tiada ulasan:

Catat Ulasan