Sabtu, 10 Jun 2017

Chong Wei ketuai perseorangan negara ke suku akhir



ARKIB : 07/01/2006

BASEL - Pemain nombor satu negara dan pilihan utama, Lee Chong Wei mengetuai kemaraan tiga perseorangan Malaysia ke suku akhir Kejohanan Badminton Terbuka Switzerland di sini, semalam.

Malah, cabaran negara pada suku akhir kejohanan empat bintang bernilai AS$120,000 (RM452,400) itu turut diteruskan oleh dua beregu lelakinya, Chan Chong Ming-Koo Kien Keat dan Mohd. Fairuzizuan Tazari-Lin Woon Fui serta beregu wanita, Wong Pei Tty-Chin Eei Hui.

Chong Wei yang kini menjadi calon utama untuk membawa cabaran perseorangan Malaysia pada Sukan Komanwel di Melbourne, Mac ini menundukkan Park Sung Hwan dari Korea Selatan 15-13, 15-12.

Menanti pemain nombor tiga dunia itu adalah Niels Christian Kaldau dari Denmark, yang terdahulu mengalahkan Sairul Amar Ayob 15-7, 15-9.

Jaguh veteran negara, Wong Choong Hann pula menempah pertemuan dengan pemain nombor satu Korea, Lee Hyun Il selepas menumpaskan Kaspar Oedum juga dari Denmark 15-13, 15-9. Hyun Il mara selepas mengalahkan pemain muda negara, Yeoh Kay Bin 15-1, 15-5.

Kuan Beng Hong bakal berdepan cabaran sukar juara Copenhagen Masters dan bintang Denmark, Peter Gade-Christensen di suku akhir selepas menewaskan rakan senegara Christensen, Erin Kehloffner 15-11, 17-14.

Christensen, 29, pemain nombor empat dunia menyingkirkan bekas juara Terbuka Malaysia, James Chua 15-7, 15-0 di pusingan ketiga.

Sementara itu, Chong Ming-Kien Keat dipaksa berhempas pulas sebelum menumpaskan pasangan veteran England, Anthony Clark-Robert Blair 13-15, 15-8, 15-13 untuk bertemu beregu Denmark, Thomas Laybourn-Lars Paaske.

Fairuzizuan-Woon Fui pula menempah pertemuan dengan pilihan pertama, Mathias Boe-Carsten Mogensen dari Denmark selepas menewaskan Yoo Yeon Seong-Kang Myeong Won dari Korea 5-15, 15-12, 15-10.

Boe-Mogensen sebelum itu menamatkan cabaran pasangan bidan terjun, Choong Hann-Choong Tan Fook 15-13, 15-3. Turut tersingkir adalah beregu muda, Tan Bin Shen Ong Soon Hock yang tunduk 11-15, 15-9, 6-15 kepada Sang Yang-Zheng Bo dari China.

Juara Sukan SEA, Pei Tty-Eei Hui pula menjadi wakil tunggal wanita di suku akhir selepas mudah mengalahkan pasangan Ukraine, Elena Nozdran-Larisa Griga 15-0, 15-6 dan akan bertemu Mia Audina-Lotte Jonathans dari Belanda.

Dua perseorangan wanita negara, Wong Mew Choo dan M. Sutheaswari terkeluar awal daripada saingan. Mew Choo tewas 2-11, 13-11, 11-8 kepada Lee Hyun Ji dari Korea, manakala Sutheaswari kalah 5-11, 5-11 kepada pilihan pertama, Pi Hongyan dari Belanda.

SUMBERArtikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2006&dt=0107&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_02.htm#ixzz4jaVysXUT
© Utusan Melayu (M) Bhd

Tiada ulasan:

Catat Ulasan