Ahad, 25 Jun 2017

Chong Wei tidak takut



ARKIB : 02/05/2006

SENDAI, Jepun - “Saya kini berada di prestasi terbaik untuk mengalahkan mana-mana pemain terbaik dunia.''

Begitulah keyakinan yang dilaungkan pemain nombor satu negara, Lee Chong Wei menjelang perlawanan suku akhir badminton Piala Thomas menentang Korea Selatan di Tokyo, Rabu ini.

Chong Wei, 23, yakin tahap permainan dan keyakinannya kini amat tinggi dan mampu menjadi pemain yang boleh diharapkan untuk menyumbang mata pertama Malaysia dalam setiap perlawanan, termasuk jika berdepan penyandang juara, China.

Menurut pemain nombor dua dunia itu, walaupun hanya beraksi dalam satu perlawanan di Jepun setakat ini, namun dia membawa bersama motivasi dan prestasi konsistennya sejak muncul juara Sukan Komanwel dan Asia.

Bagi Chong Wei, rekod perlawanannya yang baik, pernah mengalahkan Lin Dan, Taufik Hidayat (Indonesia), Peter Gade-Christensen (Denmark), Chen Hong (China) dan Bao Chunlai meningkatkan keyakinan untuk berdepan mana-mana pasukan.

“Saya melihat motivasi di kalangan rakan-rakan sepasukan lain juga cukup hebat. Jika permainan dan semangat ini dibawa berterusan, kita boleh mengalahkan mana-mana pasukan terbaik dunia,'' katanya

Berdasarkan rekod, perseorangan pertama Korea Selatan, Lee Hyun Il memenangi empat daripada tujuh pertemuan kedua-dua pemain, namun Chong Wei menang dalam satu-satunya perlawanan menggunakan format 21 mata ketika membantu Malaysia mengalahkan Korea 3-2 untuk muncul juara pusingan kelayakan, Februari lalu.

- Utusan
SUMBER-Artikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2006&dt=0502&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_03.htm#ixzz4l4zA1uiZ
© Utusan Melayu (M) Bhd

Tiada ulasan:

Catat Ulasan