Jumaat, 2 Jun 2017

Chong Wei tetap jadi sandaran walaupun sakit

ARKIB : 12/08/2005
KUALA LUMPUR - Biar pun masih lemah kerana diserang sakit perut dan cirit birit, Lee Chong Wei tetap dianggap pertaruhan terbaik negara untuk menggegar pada Kejohanan Badminton Dunia di Anaheim, California, Amerika Syarikat (AS) yang bermula 15 Ogos ini.

Itu pilihan yang dibuat Presiden Persatuan Badminton Malaysia (BAM), Datuk Nadzmi Salleh dan jurulatih perseorangan negara, Misbun Sidek.

Kedua-duanya memberi alasan, Chong Wei, 22, yang masih segar dengan kejayaan menjuarai Terbuka Malaysia kini berada pada prestasi terbaik untuk mencipta kejayaan besar di kejohanan itu.

Sambil dibantu undian mudah, Nadzmi menganggap keazaman kuat yang ditunjukkan Chong Wei turut membuatkannya memilih pemain itu untuk menyinar kali ini.

``Saya anggap cabaran acara perseorangan yang diwakili Chong Wei, Hafiz (Hashim), dan (Wong) Choong Hann adalah yang paling kuat berbanding acara lain.

``Jadi saya memilih Chong Wei sebagai pertaruhan terbaik untuk menyinar kerana keazaman kuat yang ada dalam dirinya,'' tegas Nadzmi.

Bagi Misbun pula, Chong Wei perlu berfikir dan bermain pada tahap tinggi jika mahu jadi pemain perseorangan pertama negara muncul juara dunia.

``Dia bakal menjadi tumpuan untuk dikalahkan pada kali ini. Tetapi berdasarkan undian mudah, Chong Wei tidak ada masalah untuk layak ke suku akhir.

``Jika berjaya, Chong Wei dijangka bertemu Choong Hann di mana satu tempat ke separuh akhir sudah pasti dalam tangan pemain negara,'' katanya.

Skuad negara yang terdiri daripada 11 pemain lelaki dan 10 wanita bersama-sama dengan lima jurulatih dan tukang urut berlepas pagi semalam, sehari lebih awal daripada jadual asal untuk menyesuaikan diri dengan keadaan di California.

Menurut Misbun, pemergian awal ini penting bagi mengatasi masalah pemeriksaan ketat kemasukan ke Amerika Syarikat di samping gelanggang latihan yang terhad di sana.

``Badminton bukan sukan popular di sana. Jadi tempat latihan pun terhad dan tidak boleh berlatih lama,'' tegasnya.

Sementara itu, Choong Hann yang hampir muncul juara perseorangan lelaki pada Kejohanan Dunia 2003 di Birmingham sebelum tunduk kepada pemain China, Xie Xuanze pada perlawanan akhir, bagaimanapun berdepan undian sukar bersama Hafiz.

Kejohanan Dunia pada 15-21 Ogos ini diadakan di AS buat pertama kali sebagai usaha Persekutuan Badminton Antarabangsa untuk mempromosikan sukan itu ke seluruh dunia.

Malaysia menghantar pemain paling ramai berbanding negara lain dengan semua pemain layak secara merit.

SUMBERArtikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2005&dt=0812&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_04.htm#ixzz4iqhHabo6
© Utusan Melayu (M) Bhd

Tiada ulasan:

Catat Ulasan