Jumaat, 23 Jun 2017

Hanya Chong Wei ke suku akhir



ARKIB : 31/03/2006

JOHOR BAHRU - Lee Chong Wei muncul perseorangan lelaki tunggal negara meneruskan cabaran ke suku akhir Kejohanan Badminton Asia di Stadium Bandaraya di sini, semalam.

Walaupun mendapat sokongan padu penyokong tempatan, namun juara Seluruh England 2003, Muhd. Hafiz Hashim, Muhd. Roslin Hashim, Yeoh Kay Bin serta Mohd. Sairol Ayob gagal melepasi pusingan ketiga.

Naib juara tahun lalu, Kuan Beng Hong pula terpaksa menamatkan kempennya lebih awal kerana masalah kesihatan, manakala cabaran perseorangan wanita Malaysia berakhir dengan kekalahan M. Sutheaswari pada pusingan ketiga.

Chong Wei, 24, pilihan pertama dan pemain nombor dua dunia tidak menghadapi masalah untuk menewaskan Anand Chetan dari India 21-14, 21-13.

Juara baru Sukan Komanwel itu akan menentang pemain Thailand, Poompat Sapkulchananart, yang turut mara selepas mengejutkan pemain nombor satu Hong Kong, Ng Wei 21-17, 21-18.

Hafiz, yang gagal mendapat tempat dalam skuad ke Melbourne tewas kepada pemain remaja Indonesia, Simon Santoso 17-21, 16-21, sebelum disusuli dengan kekalahan abangnya, Roslin, 21-13, 12-21, 20-22 kepada pemain utama Thailand, Boonsak Ponsana.

Kay Bin pula berjaya mengheret penyandang juara, Sony Dwi Kunchoro dari Indonesia ke permainan tiga set sebelum tewas 6-21, 22-20, 14-21, manakala Sairul, kalah mudah 15-21, 9-15 kepada pemain remaja China, Chen Yu.

Terdahulu, harapan untuk melihat perseorangan wanita negara mara ke suku akhir tidak kesampaian apabila Sutheaswari tewas kepada pemain Jepun, Kaori Mori 21-16, 21-15.

Pada perlawanan sebelah pagi, Beng Hong pula terpaksa menarik diri daripada pusingan kedua kerana demam untuk memberi kemenangan percuma kepada pemain China, Qiu Yanbo.

SUMBER-Artikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2006&dt=0331&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_04.htm#ixzz4kpydjzeV
© Utusan Melayu (M) Bhd

Tiada ulasan:

Catat Ulasan