Ahad, 25 Jun 2017

Chong Wei mahu bangkit



ARKIB : 08/05/2006

TOKYO - Jaguh perseorangan negara, Lee Chong Wei mahu segera melupakan kekecewaan gagal membantu Malaysia merangkul kejuaraan badminton Piala Thomas dengan mengalihkan tumpuan utamanya merampas gelaran pemain nombor satu dunia.

Malah juara Asia itu juga memasang impian besar untuk muncul pemain pertama Malaysia merangkul kejuaraan dunia di Madrid, 18-24 September ini selain mula memberi tumpuan kepada usaha memenangi pingat emas Sukan Asia di Doha, Disember ini.

Chong Wei, yang kini menduduki ranking kedua dunia mampu merampas kedudukan nombor satu daripada pemain China, Lin Dan sekiranya berjaya Terbuka Indonesia, kejohanan enam bintang yang bermula hujung bulan ini.

Turut bersaing untuk kedudukan teratas dunia itu ialah bekas pemain nombor satu dunia, Peter Gade-Christensen dari Denmark, yang kini berada pada ranking ketiga dunia, manakala rakan senegaranya, Kenneth Jonassen di ranking keempat.

“Saya minta maaf kerana tidak dapat membantu Malaysia muncul juara Piala Thomas tetapi saya akan berusaha memberikan kejayaan lain kepada negara.

Tumpuan saya ketika ini adalah Terbuka Indonesia kerana jika menang, saya boleh merampas ranking nombor satu dunia.

“Saya percaya, saya juga berada pada laluan yang amat baik untuk menjuarai Kejohanan Dunia di Madrid. Saya hanya perlu memperbaiki permainan dalam format 21 mata dan jika mampu menguasainya saya boleh menjadi pencabar utama gelaran,'' kata pemain itu lagi.

Menurut Chong lagi, dia hanya akan berehat selama dua hari sebaik tiba di Kuala Lumpur dan dijangka kembali menyambung latihan bersama pasukan kebangsaan di Stadium Juara, Bukit Kiara, Khamis ini.

Chong Wei, 23, yang juga penyandang juara Terbuka Malaysia sudah memiliki dua kejuaraan tahun ini – memenangi pingat emas Sukan Komanwel di Melbourne, April lalu selain muncul juara Asia di Johor Bahru.

Pemain kelahiran Pulau PInang itu terkandas pada separuh akhir kejohanan Dunia di Anaheim, Amerika Syarikat tahun lalu selepas tumpas 3-15, 12-15 kepada juara Olimpik dari Indonesia, Taufik Hidayat, yang kemudian muncul juara.

Selain Terbuka Indonesia (31 Mei hingga 4 Jun), Chong Wei juga akan beraksi pada TErbuka Singapura (5-11 Jun) sebelum turun dalam kempen mempertahankan kejuaraan Terbuka Malaysia di Kuching 13 hingga 18 Jun.

Pada saingan Piala Thomas di sini, dia gagal membantu Malaysia mengutip mata pertama ketika menentang Denmark di separuh akhir apabila tewas 19-21, 18-21 kepada pemain nombor tiga dunia, Peter Gade-Christiansen.

Kekalahan itu mendorong kegagalan pasukan negara untuk layak ke perlawanan akhir selepas tewas 2-3 sekali gus melebarkan kemarau kejuaraan buat Malaysia kepada 16 tahun selepas kali terakhir memenanginya di Kuala Lumpur pada 1992 yang lalu.

- Utusan

SUMBER-Artikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2006&dt=0508&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_03.htm#ixzz4l5aiJDJj
© Utusan Melayu (M) Bhd

Tiada ulasan:

Catat Ulasan