Selasa, 27 Jun 2017

Chong Wei, Lin Dan ulangi pertemuan

ARKIB : 18/06/2006

Oleh Sayed Hesham Idris

KUCHING - Penyandang juara, Lee Chong Wei mengesahkan tempat ke perlawanan akhir Kejohanan Badminton Terbuka Malaysia 2006 apabila melepasi halangan pemain Korea Selatan, Lee Hyun Il pada separuh akhir di sini, semalam.

Chong Wei, juara edisi 2004 dan tahun lalu mara ke final setelah menang perlawanan tiga set 15-21,21-12 dan 21-16 ke atas Hyun Il.

Sementara itu, kejuaraan beregu lelaki pula sah milik Malaysia apabila dua beregu negara, Lin Woon Fui-Mohd Fairuzizuan Tazari dan Koo Kien Keat-Chan Chong Ming berentap sesama sendiri di perlawanan akhir.

Woon Fui-Mohd. Fairuzizuan mara ke perlawanan akhir apabila menewaskan pasangan veteran negara, Choong Tan Fook-Lee Wah Wah 21-16,21-19.

Kemenangan lebih sensasi dicatatkan oleh beregu utama negara, Kien Keat-Chong Ming apabila mengalahkan naib juara tahun lalu, Fu Haifeng-Cai Yun dari China, 21-17, 23-21.

Menurut Chong Wei, 23, permainannya di set pertama terganggu kerana tiupan angin menyebabkannya pukulannya sering keluar.

Bagaimanapun, katanya dia tidak berputus asa dengan keputusan dalam set pertama dan kembali bangkit pada set kedua.

“Apabila bertukar gelanggang di set kedua, saya kembali menemui rentak dengan corak permainan menyerang dan permainan di jaring juga kerap menjadi,” katanya.

Ini bermakna perlawanan akhir perseorangan lelaki hari ini mengulangi aksi final tahun lalu apabila Chong Wei berdepan pemain nombor satu dunia, Lin Dan.

Lin Dan, mengesahkan tempat ke final hari ini selepas mudah mengetepikan halangan pemain senegara, Chen Jin dengan 21-15, 21-11.

Jika menang ke atas Lin Dan hari ini, Chong Wei bakal menyamai rekod kejuaraan hatrik bekas pemain negara, Rashid Sidek yang muncul juara tiga kali berturut-turut pada 1990,1991 dan 1992.

Mengenai perlawanan akhir hari ini, Chong Wei berkata sukar baginya untuk meramalkan peluang ke atas Lin Dan apatah lagi rekod pertemuan semasa lebih memihak kepada pemain China itu.

Begitupun, katanya dia akan cuba memberikan aksi terbaik dan apa yang penting dia tidak tertekan pada perlawanan akhir hari ini.

“Ini kerana sasaran saya kali ini hanyalah untuk layak ke separuh akhir dan apabila layak ke final, ia merupakan satu bonus bagi saya,” katanya.

SUMBER-Artikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2006&dt=0618&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_10.htm#ixzz4lBZiqU31
© Utusan Melayu (M) Bhd

Tiada ulasan:

Catat Ulasan