Sabtu, 3 Jun 2017

Chong Wei tertekan



ARKIB : 24/08/2005
ANAHEIM, California - Jaguh perseorangan negara, Lee Chong Wei mengakui keadaannya agak teruk selepas kekalahan 3-15, 12-15 kepada juara baru dunia, Taufik Hidayat dari Indonesia pada separuh akhir Kejohanan Badminton Dunia, semalam.

Kata Chong Wei, perasaannya amat tertekan selepas perlawanan itu kerana percaya dia sepatutnya mampu melakukan sesuatu yang lebih baik dan berasa bersalah kepada peminat badminton negara terutama Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak yang sanggup meluangkan masa untuk menonton perlawanannya, Sabtu lalu.

Bagaimanapun kata Chong Wei, kekalahan kepada Taufik memberi pengajaran amat besar kepadanya. Ia bukan saja mematangkan permainannya bahkan menjadi pengajaran agar lebih tenang menghadapi sesuatu keadaan dan mengawal emosi.

``Saya amat kecewa selepas kalah kepada Taufik. Saya hilang mood sehinggakan makan minum pun tidak lalu kerana terlalu memikirkan kekalahan itu,'' kata Chong Wei, yang tampak begitu muram ketika menerima pingat gangsanya, semalam.

``Ilmu (mengawal diri) tidak diajar oleh mana-mana jurulatih, ia adalah ilmu semula jadi yang akan akan pelajari oleh pemain setiap kali berada di gelanggang. Saya akan cuba menjadi pemain yang lebih tenang,'' katanya lagi.

Walaupun diletakkan sebagai underdog dalam pertemuan menentang Taufik Sabtu lalu, Chong Wei tetap meletakkan dirinya dalam situasi `mesti menang' atau dia akan dianggap gagal.

Dia sentiasa diburu rasa yang amat bersalah apabila sasaran tinggi yang diletakkannya sendiri gagal dikecapi sekalipun kejayaan mara ke separuh akhir sudah begitu baik buat pendatang baru sepertinya.

Malah, Chong Wei juga telah menumpaskan pemain nombor empat dunia, Bao Chunlai dari China 15-5, 15-7 dalam suku akhir dan mencatat keputusan straight-set dalam semua empat perlawanan pertama sebelum kalah kepada Taufik.

Selepas juara Olimpik, Taufik meumpaskan pemain nombor satu dunia, Lin Dan dari China 15-3, 15-7 dalam perlawanan akhir kelmarin ia memberikan sedikit kelegaan kepadanya kerana Taufik sememangnya berada pada tahap terbaik. - Utusan

sumberArtikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2005&dt=0824&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_03.htm#ixzz4ivV9grIE
© Utusan Melayu (M) Bhd

Tiada ulasan:

Catat Ulasan