Selasa, 6 Jun 2017

Chong Wei akui peluang cerah



ARKIB : 14/11/2005

KUALA LUMPUR - Jaguh kebangsaan, Lee Chong Wei mengakui peluang emas perseorangan lelaki acara badminton di Sukan SEA Manila cerah dengan ketiadaan pencabar terkuat, Taufik Hidayat dari Indonesia.

Malah, menurut juara Terbuka Denmark itu yang yakin mara ke perlawanan akhir, berdasarkan undian adalah tidak mustahil penentuan emas dalam acara tersebut adalah lawan senegara Muhd. Hafiz Hashim.

``Berdasarkan pencapaian di sepanjang tahun ini di mana saya yang tidak pernah kandas pada pusingan awal, saya yakin mampu mara ke penentuan emas.

``Dalam masa yang sama saya berharap Muhd. Hafiz juga dapat beraksi dengan baik untuk mencipta perlawanan akhir sesama pemain negara,'' katanya di sini, semalam.

Peluang Malaysia menguasai acara perseorangan sukan badminton di Sukan SEA kali ini tampak cerah selepas Indonesia tidak menyenaraikan pemain terbaik mereka, juara Dunia dan Olimpik, Taufik.

Begitupun, Chong Wei pilihan pertama di Sukan SEA kali ini tetap berhati-hati dengan saingan dua pencabar terkuat, pilihan ketiga dari Thailand, Boonsak Ponsana dan Simon Santoso (Indonesia) yang dijangka bertemu di separuh akhir.

``Saya belum pernah bertemu mereka dan berazam akan memberikan yang terbaik untuk mengatasi mereka.

``Latihan fasa terakhir selama dua minggu menjelang Sukan SEA akan saya manfaatkan untuk membaiki kelemahan,'' ujarnya.

Apa yang menjadi kebimbangan Chong Wei ialah kelemahan dalam membaca kelemahan lawan.

``Dari segi fizikal, saya berada di tahap terbaik cuma agak lemah dalam mencari kelemahan lawan sewaktu di gelanggang,'' katanya.

Sumber-Artikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2005&dt=1114&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_02.htm#ixzz4jFLkKEPy
© Utusan Melayu (M) Bhd

Tiada ulasan:

Catat Ulasan