Sabtu, 10 Jun 2017

Laluan mudah bagi Chong Wei, Muhd. Hafiz



ARKIB : 12/01/2006

KUALA LUMPUR - Juara Terbuka Switzerland, Lee Chong Wei kelihatan mendapat laluan mudah untuk ke suku akhir di mana dia dijangka bertemu pilihan ketujuh, Chen Hong dari China selepas undian kejohanan badminton Seluruh England dikeluarkan semalam.

Pemain nombor satu negara itu, yang diletakkan sebagai pilihan ketiga kejohanan, akan memulakan kempen dengan menentang pemain tidak ternama dari New Zealand, Geoffrey Bellingham pada pusingan pertama.

Juara 2003 dan pilihan kelapan, Muhd. Hafiz Hashim juga sepatutnya mudah ke suku akhir di mana dia dijangka bertemu Peter Gade Christensen dari Denmark.

Perlawanan pertama Muhd. Hafiz ialah menentang pemain muda China, Chen Jin manakala pilihan keempat, Gade Christensen akan bertemu pemain berpengalaman dari Korea Selatan, Park Sung Hwan.

Pemain nombor tiga negara, Wong Choong Hann mendapat laluan lebih sukar. Walaupun dijangka mudah melepasi pusingan pertama dan kedua, menanti pilihan kesembilan itu di pusingan ketiga ialah jaguh nombor satu dunia, Lin Dan dari China.

Kuan Beng Hong, yang diletakkan sebagai pilihan ke-11, akan memulakan aksi dengan bertemu Bobby Milroy dari Kanada manakala pilihan ke-16, Sairul Amar Ayob akan menentang pemain dari Perancis, Jean-Michel Lefort.

Yeoh Kay Bin pula akan bertemu dengan pemain dari pusingan kelayakan manakala seorang lagi pemain negara Pei Wei Chung akan menentang Martyn Lewis dari Wales. Laluan sukar bagaimanapun menanti pemain berpengalaman, Lee Tsuen Seng yang diundi bertemu jaguh muda Indonesia, Sony Dwi Kuncoro.

Sementara itu, pakar beregu negara, Chan Chong Ming dan Koo Kien Keat mendapat bye pada pusingan pertama. Menanti pilihan kelapan kejohanan itu pada peringkat suku akhir ialah pilihan kedua, Jens Eriksen-Martin Lundgard Hansen.

Pasangan dari Denmark itu bagaimanapun perlu lebih dulu melepasi satu lagi pasangan Malaysia, Tan Bin Shen-Ong Soon Hock pada pusingan ketiga.

Pasangan veteran, Choong Tan Fook-Lee Wan Wah yang diletakkan selaku pilihan keenam turut mendapat bye pada pusingan pertama dan dijangka bertemu pilihan keempat Luluk Hadiyanto-Alven Yulianto dari Indonesia pada suku akhir.

Gandingan Gan Teik Chai-Mohd. Zakry Abdul Latif pula mendapat laluan mudah di pusingan pertama apabila diundi bertemu pasangan yang mara dari pusingan kelayakan manakala Mohd. Fairuzzizuan Mohd. Tazari-Woon Fui Lin akan menentang peserta dari Denmark, Soren Frandsen-Rasmus Mangor Andersen.

Sementara itu, naib juara Sukan SEA, Wong Mew Choo memulakan aksi dengan menentang pemain tuan rumah, Julia Mann manakala M. Sutheaswari mendapat bye.

Juara Sukan SEA dan pilihan keenam, Wong Pei Tty-Chin Ei Hui bertemu pasangan Thailand, Salakjit Ponsana-Morthila Meemek manakala Lim Pek Siah-Ang Li Peng menentang pilihan kedua dari Kore Selatan, Lee Kyung Woon-Lee Hyo Jung.

Satu lagi pasangan negara, Ooi Sock Ai-Mooi Hing Yau akan menentang pasangan dari pusingan kelayakan.

SUMBERArtikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2006&dt=0112&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_03.htm#ixzz4jakkwl3Q
© Utusan Melayu (M) Bhd

Tiada ulasan:

Catat Ulasan